PELAKON dan pelawak, Ebby Yus meluahkan rasa syukur apabila kesihatannya semakin pulih dan doktor pakar memaklumkan paru-parunya tidak perlu ditebuk seperti dirancang sebelum ini.

Jelas Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, berkata, ujian imbasan sinar-X yang dibuat semalam menunjukkan paru-parunya semakin pulih selepas lima hari mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Doktor pakar maklumkan pagi tadi, saya tidak perlu menjalani proses menebuk paru-paru bagi mengeluarkan air.

“Selepas lima hari mendapatkan rawatan, doktor kata paru-paru saya semakin pulih dan saya perlu jalani rawatan susulan selepas ini.

“Cuma saya belum pasti bila dibenarkan keluar hospital,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya adakah dia kepenatan ekoran sibuk mengedarkan bantuan banjir sehingga dimasukkan ke hospital, figura berusia 56 tahun itu menafikannya.

“Sebenarnya saya ke hospital kerana mengalami cirit-birit, tetapi bila jalani pemeriksaan, doktor lihat paru-paru saya ada air.

“Itu yang saya terus ditahan untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Iklan

Sebelum ini, Ebby menjadi antara artis yang terkesan akibat banjir selepas rumahnya yang masih dalam proses pembinaan di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat lenyap dibawa arus banjir.

Dek insiden yang tidak terjangka itu, impian Ebby untuk menduduki rumah yang dibina dengan kos RM200,000 tidak kesampaian.

Iklan

Pada Oktober lalu, pelakon sitkom J.K.K dilaporkan pengsan selepas mengalami serangan jantung ketika dalam perjalanan menunaikan umrah dan ditahan di sebuah hospital di Maldives selama sehari.

Ebby sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana penyakit lemah jantung dan buah pinggang yang dihidapinya.