Semangat Andi Bernadee, selepas sebulan terkena sakit misteri

Andi Bernadee
Andi Bernadee
A
A
A

SELEPAS  sebulan berehat disebabkan penyakit misteri dihidapi, penyanyi dan pelakon, Andi Bernadee kini kembali aktif melunaskan kerja-kerja tertangguh berkaitan aktiviti seni.

Meskipun diuji dengan masalah kesihatan, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 30, tetap bersemangat kembali bekerja.

“Biarpun baru-baru ini saya diuji dengan penyakit misteri, kini saya kembali bekerja untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup sebagai anak seni.

“Tambahan pula dalam keadaan pandemik sekarang, semua orang berebut mendapatkan peluang mencari rezeki.

“Saya sebagai anak seni juga perlu sentiasa berusaha dan kerja kuat untuk kehidupan lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Andi turut berterima kasih pada peminat dan semua pihak yang sentiasa menyokong dan mendoakan kesihatannya.

Apatah lagi single terbaharunya, Kais Pagi, Kais Petang yang dilancarkan baru-baru ini turut mendapat sambutan baik, biarpun aktiviti promosi tidak dapat dilakukan sebagaimana kebiasaan.

“Lagu ini menggambarkan kehidupan manusia yang perlu bekerja setiap hari untuk mendapatkan rezeki.

“Apatah lagi kerja anak seni seperti kami, tiada gaji bulanan. Ibaratnya kais pagi, kais petang untuk mencari rezeki,” katanya.

Mengakui rindu untuk bertemu dan menghiburkan peminat, anak kelahiran Sabah itu berkesempatan membuat penampilan istimewa sempena perasmian butik Fipper di Aeon Seri Manjung, Perak pada Sabtu lalu.

Biarpun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat, Andi berkata, dia teruja dapat beramah mesra dengan peminatnya di sana, apatah lagi ia merupakan aktiviti pertamanya bersama peminat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejak PKP, saya memang tak pernah ‘turun padang’ bertemu peminat.

“Alhamdulillah apabila aktiviti seni dan sosial sudah dibenarkan, saya kembali berpeluang bersua muka dengan mereka.

“Bila lama tak jumpa, ramailah yang mahu saya kongsikan tentang perkembangan terkini kerjaya dan kesihatan saya,” katanya.

Sementara itu, Andi juga mengajak orang ramai untuk menyertai kempen Fipper bersama Zoo Negara untuk membantu kos operasi penjagaan haiwan di sana.

Menurut Andi, setiap pembelian Trucker Cap yang berharga RM9.90 akan diserahkan sepenuhnya kepada Zoo Negara.

“Menerusi setiap pembelian itu, orang ramai secara tidak langsung menyumbang kepada Zoo Negara.

“Saya harap kita dapat menyokong program ini demi membantu haiwan-haiwan di sana.

“Saya difahamkan kos perbelanjaan untuk memelihara haiwan sangat besar. Jadi marilah sama-sama kita bantu pihak Zoo Negara,” ujarnya yang bakal terlibat dengan projek video raya Fipper bersama Andi tidak lama lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca