SEMPENA Hari Hijab Sedunia yang disambut pada 1 Februari saban tahun di serata dunia, pelakon dan pengacara serba boleh, Jihan Muse menzahirkan bingkisan hati.

Pemilik nama sebenar, Nurul Jihan Musa berkongsi 1 Februari 2021 merupakan detik manis yang mana genap dua tahun beliau bertudung.

jihan muse
JIHAN menzahirkan kesyukuran tahun ini genap dua tahun beliau berhijab dan berdoa semoga terus kekal istiqamah.

“Bismillahi MashaAllah..1 Februari. Hari ini secara rasminya genap dua tahun memakai hijab.

“Semoga dapat terus istiqamah dan membaiki diri dalam menjaga aurat zahir dan batin. Jom pakai tudung,” kongsinya menerusi laman sosial Instagram @jihanmuse hari ini sambil disertai hashtag #worldhijabday

Dalam pada itu, pengacara Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu turut mencoretkan, pemakaian tudung secara tidak langsung memberi peringatan buat beliau.

“Pemakaian hijab tidak mempamerkan betapa alimnya kamu, tetapi ia adalah peringatan bahawa walaupun iman kamu rendah, namun masih tergolong dalam agama Islam,” katanya.

Menyorot penghijrahan beliau, penampilan Jihan bertudung mula mendapat perhatian warga maya gara-gara memuat naik koleksi fotonya manis berhijab di Jepun, dua tahun lalu.

Iklan
jihan muse
JIHAN bersama suami, Ungku Hariz (belakang) dan anak mereka Ungku Arsalan.

Pada ketika itu, beliau sedang bercuti bersama suaminya pelakon, Ungku Hariz dan anak mereka, Ungku Arsalan Haq selepas setahun mengacarakan program Jejak Jihan Jepun.

Secara ringkasnya, Hari Hijab Sedunia merupakan cetusan idea daripada wanita kelahiran Bangladesh, Nazma Khan.

Semuanya bermula selepas beliau berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dan sering menjadi mangsa buli rakan di sekolah rendah hingga melanjutkan pengajian di peringkat kolej.

Iklan

Nazma diejek dan didiskriminasi hanya kerana menyarungkan hijab. Segelintir penduduk di negara Uncle Sam itu juga selalu mengaitkan beliau dengan keganasan, walhal realitinya Islam tidak begitu. Umpama peribahasa, ‘jauh panggang dari api’.

Justeru, bagi membersihkan imej Islam, sekaligus menepis persepsi negatif dalam kalangan masyarakat di AS, Nazma mengambil inisiatif menganjurkan Hari Hijab Sedunia pada 1 Februari 2013 dan ia turut diadakan di 190 negara di seluruh dunia.

Matlamat utama beliau adalah untuk menggalakkan wanita berbeza latar belakang dan agama memakai tudung dan mengalami kehidupan wanita berhijab.

jihan muse
PENGACARA GV7 itu menyifatkan pemakaian tudung secara tidak langsung memberi peringatan buat beliau.