PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), yang memperuntukkan RM100 Juta untuk industri seni dan kreatif negara.

Seniman merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan kerajaan mendengar rintihan penggiat seni yang amat terkesan dalam tempoh perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mempunyai empat fasa keseluruhannya.

Menurut Setiausaha Seniman, Hafiz Nafiah, pihaknya akan memantau pelaksanaan agihan peruntukkan tersebut untuk penggiat seni tanah air.

Ia bagi peruntukkan tersebut sampai kepada mereka yang memerlukan, sekali gus meringankan beban penggiat seni yang masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga hari ini.

“Jika dilihat semula PPN ini, industri kreatif akan kembali beroperasi pada fasa ketiga nanti setelah kes jangkitan Covid-19 berkurangan bawah nilai ambang 500 kes sehari. Jangkaannya sekitar bulan Oktober nanti.

“Untuk pengetahuan pihak kerajaan, Industri kreatif sudah tidak mampu lagi bertahan sekiranya kami tidak dibenarkan beroperasi dalam bulan Julai ini.

“Segala peruntukkan yang diberikan oleh kerajaan dalam pakej-pakej sebelum ini tidak bermakna sekiranya kami masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Seniman percaya industri kreatif juga adalah sektor penting yang turut menyumbang kepada pembangunan negara.

Iklan

“Seperti mana yang umum ketahui sektor pengilangan dan pembinaan adalah penyumbang terbesar kepada kes harian Covid-19 dan mereka masih dibenarkan untuk terus beroperasi.

“Jika sektor ini dibenarkan beroperasi mengapa industri kreatif tidak dibenarkan beroperasi, sedangkan kami sedia mematuhi segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa sebarang masalah.

Iklan

“Setakat hari ini, industri kreatif tidak pernah mencetuskan kluster-kluster yang melibatkan penggambaran. Ini menunjukkan penggiat seni sentiasa patuh kepada SOP serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Seniman sekali lagi mengesa agar industri kreatif dibenarkan beroperasi pada bulan Julai ini demi kelangsungan hidup warga kerja industri kreatif yang amat terkesan memandangkan 90 peratus daripada kami bekerja berdasarkan projek,” katanya.