KERJA seni sememangnya menuntut daya dan sentuhan kreativiti yang tinggi daripada mereka yang benar-benar pakar di dalamnya.

Hal sama dilakukan untuk filem Syaitan Munafik, sebuah karya berusia lebih 12 tahun yang digilap semula untuk menjadikan ia lebih menarik dan teruja untuk ditonton.

Naskhah terbitan United Nine Creative itu diberi sentuhan baharu, selain tambahan babak bagi mencantikkan jalan cerita sedia ada.

Pengarah urusannya, Datuk Mohd Rosdi Shair mengakui berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilakukan dan berharap filem tersebut dapat diterima baik penonton.

“Saya berpuas hati kerja-kerja ‘reconstruct’ filem ini dibuat dengan sangat baik, selain tambahan babak baharu yang dilakukan tanpa mengubah jalan cerita sedia ada. Cuma ceritanya diolah menjadi lebih mantap dan senang difahami penonton.

“Penggunaan teknologi terkini untuk filem ini juga memberi impak positif dan bakal memberikan tarikan kepada penonton khususnya peminat filem seram,” katanya.

Tayangan di Indonesia

Jenama asal filem Syaitan Munafik itu menampilkan Allahyarham Ashraf Sinclair sebagai pelakon utama di samping barisan pelakon lain seperti Faizal Hussein, Raja Farah, Ruminah Sidek dan dua pelakon Indonesia iaitu Dea Lestari dan Tessa Mariska.

Meskipun Allahyarham Ashraf sudah tiada, perancangan filem ini untuk menemui penonton di Malaysia dan Indonesia tetap diteruskan.

Mohd Rosdi turut berkunjung ke Jakarta, Indonesia pada 6 Disember lalu untuk memastikan perancangan tersebut dapat dilaksanakan.

“Kunjungan saya ke Jakarta bertujuan untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pengedar-pengedar filem di sana dan ia mendapat maklum balas yang bagus.

“Kami mendapat berita baik apabila Jakarta Sinema bersedia untuk menayangkan filem ini di 60 pawagam di sana dan mungkin lebih lagi.

“Selain itu, kami bersama gandingan rakan pengedar dan rakan-rakan promosi kedua-dua negara bakal menganjurkan Malam Gala Premier filem ini yang akan diadakan di Pusat perfileman H Umar Ismail, Kuningan Jakarta pada 12 Mei depan,” katanya yang turut menjemput 400 tetamu jemputan termasuk artis dan rakan media kedua-dua negara.

Iklan

Sementara di Malaysia pula, filem arahan Majid Salleh itu bakal ditayangkan di 70 buah panggung seluruh negara.

Dalam pada itu, penerbit kreatif MP Roslin Md Sharif, berkata, babak tambahan filem tersbeut melibatkan lakonan Kazar Saisi yang diyakini mampu memantapkan lagi penceritaan.

“Babak ini dibuat menerusi teknik design di mana production design dari sudut penyuntingan menggunakan fast cut dan buat pembetulan warna (colour grading), mengikut full HD (definisi tinggi).

“Memang filem ini sudah lama dihasilkan, cuma kami convert untuk memastikan ia berwajah baharu. Kami turut memasukkan dolby surrounding, stereo dan efek yang terkini untuk memantapkan naskhah ini agar bersesuaian dengan selera terkini.

Iklan

“Usaha tersebut menggunakan modal yang tinggi juga, tetapi kami puas hati dengan hasilnya sebelum ditayangkan di pawagam kelak,” jelasnya.

Filem seram yang dihasilkan pada 2008 dengan kos pembikinan sebanyak RM1.7 juta itu turut menampilkan Dian P Ramlee, Airis Yasmin, S Samsudin, Chik, Nabil Ahmad, Datuk Jalaluddin Hassan, Latif Borgiba, Zila Bakarin, Linda Hashim, A.Galak, S Azli, Maidin, Mak Jah dan Erry Putra.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.