RASANYA sudah ramai yang menyaksikan filem ke-28 dari Marvel Studios iaitu Doctor Strange in the Multiverse of Madness.

Naskhah yang merupakan sekuel kepada Doctor Strange yang ditayangkan pada 2016 masih mengekalkan Benedict Cumberbatch, Elizabeth Olsen, Benedict Wong, Rachel McAdams, Chiwetel Ejiofor dari filem terdahulu, di samping muka baharu, Xochitl Gomez.

Setelah menyaksikan sedikit sedutan Marvel Studios’ Doctor Strange In The Multiverse of Madness dalam filem Spider-Man: No Way Home tahun lalu, penulis sudah rasa tidak sabar untuk menonton filem yang diarahkan oleh Sam Raimi.

Raimi berjaya mengunci perhatian penonton dengan meletakkan babak cemas seawal minit pertama dan membuatkan penonton tidak senang duduk. Justeru tidak terasa durasi 2 jam 6 minit itu terlalu lama untuk sebuah filem aksi, fantasi seperti ini.

Lakonan mantap Cumberbatch sebagai Dr. Stephen Strange, Olsen (Wanda Maximoff/Scarlet Witch) dan Gomez (America Chavez), juga wajar diberi pujian kerana tampil cukup cemerlang.

Cuma ada ketikanya penulis merasakan Olsen lebih menyerlah berbanding Cumberbatch setiap kali bintang berusia 33 tahun itu muncul.

Olsen berjaya menterjemahkan karakter Scarlet Witch dengan cukup baik, meliputi gerak badan, renungan mata dan lontaran dialog. Lupa seketika ia adalah filem Doctor Strange!

Bagaimanapun ia bukan bermakna Cumberbatch gagal membawakan wataknya dengan baik kali ini, cuma lakonan Olsen terlalu kuat.

Kemunculan Gomez juga tidak mengecewakan. Kelebihannya yang memiliki kuasa untuk menjelajah dari satu galaksi ke galaksi telah memberi bayangan kemunculan America Chavez untuk filem Marvel yang akan datang.

Bukan hanya bersandarkan kekuatan tiga watak utama, kemunculan beberapa cameo dalam filem ini turut menjadi satu tarikan. Walau seketika, namun sudah cukup bermakna.

Dari segi teknikal seperti teknik janaan komputer (CGI), efek bunyi, sinematografi, filem ini cukup rencahnya.

Secara keseluruhannya, Marvel Studios’ Doctor Strange in the Multiverse of Madness menjadi satu lagi filem yang wajib ditonton, terutamanya untuk peminat studio ini!

Marvel Studios’ Doctor Strange In The Multiverse of Madness
Pengarah: Sam Raimi
Pelakon: Benedict Cumberbatch, Elizabeth Olsen, Benedict Wong, Xochitl Gomez, Rachel McAdams dan Chiwetel Ejiofor.
Genre: Aksi/Fantasi
Klasifikasi: P13
Durasi: 2 jam 6 minit
Tayangan: 4 Mei 2022