SETELAH hampir 10 tahun menghilangkan diri daripada arus muzik perdana, penyanyi Linda Nanuwil kini membuat penampilan semula dan kembali merencana kerjaya seninya sekali lagi.

Bekas bintang Akademi Fantasia (AF) musim kedua itu juga mencuri perhatian ramai apabila dirinya diumumkan sebagai salah seorang daripada 14 peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang bakal membuka pentas persaingan pada 11 Oktober depan.

Menurut pemilik nama lengkap Norlinda Nanuwil, 36, dia sendiri tidak menyangka menjadi peserta AF pertama diberikan peluang tersebut dan dalam masa sama gementar untuk bersaing dengan barisan penyanyi yang jauh berpengalaman daripada dirinya.

“Terus-terang saya tidak sangka mendapat peluang sebegini. Pada mulanya saya hanya mahu menghasilkan single baharu, tetapi dapat pula masuk GV7.

“Dua tahun lalu ketika saya menyuarakan hasrat untuk kembali aktif, ramai peminat yang mahu saya menyertai GV dan berjanji untuk memberikan sokongan.

“Jadi bila ia menjadi kenyataan, semestinya saya tidak akan mensia-siakan peluang meski sebenarnya gementar untuk berada satu pentas dengan mereka yang jauh lebih berpengalaman daripada saya,” katanya.

Berkongsi tentang status dirinya, kata Linda,  dia masih masih solo dan selesa dengan kehidupannya kini.

“Masih jomblo (bujang),” ujarnya sekali gus menafikan gosip pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang VIP sebelum ini.

Mengimbau kembali ‘kehilangannya’ dalam radar industri hiburan sebelum ini, Linda berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat dan pulang ke kampung halamannya di Sabah selepas pemergian kedua orang tuanya.

“Semuanya bermula selepas saya kehilangan bapa pada tahun 2008 dan diikuti ibu setahun kemudian.

“Ketika itu saya sangat sedih dan seperti hilang semangat untuk meneruskan kerjaya seni, lalu mengambil keputusan untuk pulang ke Sabah terus pada tahun 2010.

“Sejak itu saya tidak lagi aktif dalam industri, sebaliknya hanya menerima undangan menyanyi di sekitar Sabah sahaja.

“Di sana tentunya saya jauh daripada perhatian dan liputan media berbanding ketika berada di Kuala Lumpur dan aktif dalam arus muzik perdana,” jelasnya.

Rilis single baharu Oktober depan

Bagaimanapun kata penyanyi yang pernah tampil dengan sulung album Jika Kau Kekasih itu, dia terdetik untuk kembali ke pangkuan industri apabila ramai peminat yang masih memberikan sokongan kepadanya.

“Terharu kerana masih ada yang ingat dan sudi mengikuti perkembangan saya walaupun sudah lama saya hilang dalam industri dan tentunya dalam tempoh itu ramai penyanyi baharu yang hadir silih berganti.

Iklan

“Jadi saya bulatkan hati untuk kembali merencana kerjaya seni dengan perancangan single terbaharu, Ikhlaskan Hatimu, yang dihasilkan oleh Ajai dan lirik nukilan Lukman S.

“Jika segalanya mengikut perancangan, single tersebut akan rilis pada Oktober depan selepas GV berakhir,” katanya yang baru sahaja selesai menjayakan penggambaran muzik video lagu berkenaan.

Disebabkan lama tidak aktif dalam bidang seni, kata Linda, dia kini berusaha untuk kembali menyesuaikan diri. Akuinya, terlalu banyak perbezaan industri kini berbanding ketika dia aktif hampir 15 tahun dahulu.

“Banyak sangat yang lainnya sekarang. Jadi saya kena perlahan-lahan sesuaikan diri semula dan perasaannya seperti baru nak jadi artis.

Iklan

“Saya juga mula aktif dalam sosial media sejak dua tahun lalu, sedangkan sebelum ini akaun Instagram pun saya tak ada.

“Sebenarnya seram juga dengan impak negatif sosial media ini apabila tengok ramai artis yang kena kecam dengan netizen dan menerima komen melampau.

“Bagaimanapun itulah yang perlu ditempuhi pada era sekarang ini. Jadi kena pandai-pandai tangani semua itu dengan penuh kematangan,” akuinya yang kini masih berstatus solo.

 

(FOTO:  Azrul Rafie – Astro)