BUKAN mudah menjadi selebriti, ada ketika disayangi dan ada waktunya dibenci tanpa sebab munasabah.

Begitulah yang dilalui oleh aktres Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired atau lebih dikenali dengan nama Sharifah Sakinah.

Setiap kali berkongsi sesuatu di Instagram miliknya, pasti akan ada isu yang berbangkit. Namun selebriti berusia 33 tahun ini punya cara tersendiri untuk menanganinya.

Meskipun berhadapan dengan masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), adik kepada Sharifah Shahirah itu cukup positif.

“Setiap orang ada perspektif masing-masing. Saya tak salahkan mereka (netizen) kalau mereka tidak bersetuju dengan saya.

“Macam isu samakan tandas dengan syurga baru-baru ini, saya tidak maksudkan syurga akhirat, saya tahu syurga itu tempat suci tetapi apa yang saya katakan lebih kepada bahasa hiburan.

“Bila isu ini jadi perdebatan, saya pilih untuk mendiamkan diri kerana tidak mahu apa sahaja kenyataan saya disalahertikan,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Jemputan Ke Neraka baru-baru ini.

SHARIFAH SAKINAH
Sakinah kini sibuk di lokasi penggambaran Jemputan Ke Neraka.

Tambah Sakinah, semenjak disahkan menghidap ADHD dan berjumpa dengan beberapa pakar terapi, dia belajar untuk mengendalikan kehidupan dengan lebih baik.

Katanya, apa yang penting adalah untuk menyayangi diri sendiri terlebih dahulu dan menyebarkan kebaikan pada sesiapa sahaja.

“Kalau saya pilih untuk bergaduh, masalah tidak akan selesai. Sebab itulah baik dari sudut kehidupan atau kerja, saya pilih untuk menyayangi diri sendiri terlebih dahulu.

“Kemudian kita layan semua orang sama rata. Dalam bekerja pun, saya tidak suka ada jurang antara saya dan pelakon baru. Saya mahu semua orang selesa dan seronok bersama saya,” jelasnya.

Jarak jauh

Dalam pada itu, ditebak mengenai perkahwinan keduanya, Sakinah berkata, dia dan suami, Michael Hansen memilih untuk melalui perhubungan jarak jauh.

SHARIFAH SAKINAH
Sakinah dan Hansen memilih untuk melalui perhubungan jarak jauh demi anak-anak.

Katanya, biarpun bukan mudah, namun mereka membuat pengorbanan itu demi anak masing-masing yang masih memerlukan perhatian.

“Suami ada dua anak di Sweden dan saya juga ada anak di sini. Sukar untuk saya bawa anak ke sana kerana dia masih ada ayah.

“Walaupun sukar, kami elakkan drama yang tidak perlu dan hargai masa ketika bersama.

Iklan

“Insya-ALLAH hujung Jun nanti saya akan pulang ke Sweden untuk berehat dan bersama suami selama dua bulan,” ujarnya.

Sakinah berkata, kebanyakan masa terluang yang ada digunakan untuk berehat dan berjumpa dengan pakar terapi.

“Pakar terapi di Sweden agak garang orangnya, tetapi dia banyak ajar tentang disiplin.

“Ilmu yang saya dapat daripada pakar terapi, saya kongsikan dengan mereka yang ada masalah sama, dan tidak berpeluang berjumpa dengan pakar yang berbeza kerana kekangan kewangan dan masa,” jelasnya.

Ditanya perihal cahaya mata, Sakinah berkata, buat masa ini, mereka belum merancang untuk mempunyai cahaya mata.

Iklan

“Tidak dinafikan ramai yang tanya bila nak ada anak. Kalau ada anak bersama mesti comel dan cantik.

“Tetapi kami sendiri belum ada perancangan mengenai anak. Fokus kami sekarang untuk membesarkan tiga anak yang ada,” katanya.

Sakinah pernah berkahwin dengan juruterbang, Aliff Adha pada 2015 dan bercerai lima tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Anais Adha, 5.

Pada Februari lalu, Sakinah mengakui sudah mendirikan rumah tangga dengan Michael atau nama Islamnya Mikael Hansen. Bagaimanapun pelakon itu tidak menyatakan tarikh sebenar perkahwinannya dengan jejaka berasal dari Sweden itu atas sebab peribadi.