SETELAH ditangguhkan seketika, episode ketiga Muzik Muzik 35 Separuh Akhir (SFMM 35) akan diteruskan pada 15 Disember ini.

Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 35 Separuh Akhir, Nurhul Huda Khalid​ berkata, pematuhan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah keutamaan mereka demi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Warga kerja kami yang merupakan kontak rapat kepada Alif Satar telah pun membuat ujian calitan (swab) di pusat-pusat perubatan kerajaan berhampiran.

“Mereka juga telah mematuhi arahan Jabatan Sumber Tenaga, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga, walaupun tidak bergejala.

“Kini, proses perancangan semula SFMM 35 sedang diperhalusi dan pensanitasi berkala juga dilakukan bagi memastikan kelancaran penyiaran hari ketiga SFMM 35 pada 15 Disember ini,” ujarnya.

Tambah NurulHuda, hanya artis yang membuat persembahan pada malam itu saja yang akan hadir bagi memastikan bilangan orang yang berada di studio Sri Pentas 2 itu dapat dikurangkan dan memudahkan penjarakan fizikal.

Terdahulu, episod ketiga SFMM35 yang dijadual berlangsung pada 22 November lalu ditunda ekoran penyanyi, Alif Satar yang terbabit pada episod pertama program itu disahkan positif Covid-19.

Iklan

Pada episod ketiga itu, sembilan lagi lagu bakal berentap untuk merebut 12 tempat ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35). Sebaik sembilan persembahan selesai, 12 lagu ke AJL 35 yang dijangka berlangsung Februari depan akan diketahui.

Sembilan lagu yang akan bertanding pada episod ketiga adalah Hello nyanyian Ismail Izzani dan Andi Bernadee; Eh (Zizi Kirana); Semalam (Aina Abdul); Belenggu Rindu (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah) dan X Missing You (Dayang Nufaizah, Tuju dan YonnyBoii).

Iklan

Selain itu, turut sama bertanding adalah lagu Takkan Terlerai (Ernie Zakri dan Syamel); Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter); Aku Kau dan Muzik (Stacy dan Akim) dan Peluang ( Nabila Razali).

SFMM35 dihoskan oleh Sherry Al Hadad dan Haziq Hussny disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam.