BUKAN hanya berjaya dalam bidang seni semata-mata, pelakon Shaheizy Sam mahu turut memberikan impak dalam bidang perniagaan yang diceburinya.

Terkenal dengan beberapa produk sebelum ini, Sam kini tampil dengan perniagaan makanan menerusi jenama SyokoTube by Syoklat!

Sebagai seorang penggemar coklat,  Sam melihat ia adalah masa yang terbaik untuk membawa jenama SyokoTube by Syoklat! lebih besar sehingga mampu mencapai sasaran pembeli yang betul.

“Saya melihat potensi yang sangat besar dalam perniagaan coklat (SyokoTube) ini kerana ia tidak hanya tertumpu kepada sesetengah golongan seperti produk kecantikan.

“Saya sendiri membesar dengan adanya coklat di rumah di mana coklat sering digunakan untuk pelbagai jenis makanan.

“Pada ketika ini saya sedang membesarkan dua orang anak yang sentiasa mahukan coklat, tidak kira di mana sahaja kami berada.

Tambah Sam, dia percaya coklat mempunyai permintaan tinggi dan sentiasa menjadi pilihan ramai tidak kira peringkat usia.

“Saya pernah keluar negara dan mendapati coklat yang sama saya makan ketika membesar ada terjual di sana.

“Jadi saya berpendapat coklat ini sangat tinggi permintaannya walaupun di mana sahaja dan digunakan oleh pelbagai peringkat usia,” ujarnya.

Iklan

Melihat kepadam perkembangan itu, kata Sam, dia kini memberikan lebih fokus kepada perniagaan Syoklat! yang mula diperkenalkan sejak Oktober tahun lalu.

Malah akui Sam, salah satu impian yang disematkan menerusi perniagaan itu adalah untuk sama-sama membantu usahawan di luar sana, sekali gus menjana ekonomi mereka.

“Saya ingin fokus terhadap bisnes ini dan dalam masa sama  menjadi lebih selektif apabila memilih skrip bagi mendapat kepuasan dalam bidang seni yang dicintai.

Iklan

“Besar harapan saya, bukan setakat membantu menjana pendapatan atau ekonomi, tetapi memberi manfaat yang besar dari setiap sudut buat mereka,” kata Sam.

Syoklat yang mempunyai misi untuk menampilkan kualiti produk premium kini boleh didapati dalam beberapa perisa termasuklah Strawberi, Mangga dan Pisang.

Terdahulu, jenama itu turut berkolaborasi dengan pasangan Johan dan Ozlynn menerusi perisa Hazelnut dan Butterscotch.