SETELAH lebih 12 tahun tidak mengendalikan acara besar secara langsung di televisyen, selebriri versatil, Sharifah Shahirah teruja bakal kembali beraksi menerusi Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 pada Ahad ini.

Tawaran yang diterima itu disifatkan sebagai satu peluang yang cukup baik buat Shahirah atau lebih mesra disapa sebagai Shiera untuk memenuhi permintaan peminat yang lama merindui aksinya sebagai hos di pentas berprestij.

“Alhamdulillah masih dapat peluang untuk mengendalikan program besar seperti ini. Sebelum ini ada juga stesen yang panggil, tetapi apabila masuk peringkat seterusnya nama saya ditolak.

“Namun kali ini nama saya lepas dan digandingkan pula dengan Sherry AlHadad. Saya dan Sherry kenal rapat, jadi tidak ada masalah untuk bekerjasama,” ujarnya.

Menurut Sheira yang juga penyampai radio Suria FM, dia tidak ada masalah untuk bergandingan dengan mana-mana pengacara, baik baharu mahupun lama. Apa yang penting, mereka dapat mengendalikan acara terbabit dengan baik, sekali gus menyelesaikan tugasan seperti yang ditetapkan.

“Bila buat hos, saya boleh ‘masuk’ dengan siapa sahaja kerana saya jenis yang boleh mengikut cara rakan gandingan. Cuma dalam masa sama, saya suka menjadi diri sendiri.

“Saya faham kadang-kala ada yang suka dengan kita dan ada sebaliknya. Jadi saya tidak akan memaksa diri untuk buat orang suka pada saya sehingga memperbodohkan diri dan sebagainya,” ujarnya yang kali terakhir mengendalikan Anugerah Bintang Popular pada tahun 2011.

Seronok di konti

Bercerita tentang kerjayanya sebagai penyampai radio yang kini semakin diterima ramai, ibu kepada lima anak itu akui semakin selesa berada di konti.

Malah generasi muda yang turut menjadi pendengar setianya di Suria menerimanya dengan baik menerusi maklum balas positif yang diberikan setiap kali mengendalikan program Suria Petang bersama rakan gandingan, Tyzo.

“Saya rasa selesa dan sangat bersyukur diterima baik di radio terutamanya melibatkan generasi baharu. Mungkin ada jugalah yang tak suka, kita tak boleh nak paksa semua orang terima cara kita.

“Alhamdulillah buat masa ini respons sangat baik, malah kontrak saya sebagai penyampai juga sentiasa diperbaharui tanpa sebarang masalah.

Iklan

“Selama bergelar penyampai, saya rasa cukup dihargai pendengar. Situasi positif itu membuatkan saya rasa sentiasa seronok berada di konti,” akuinya.

Dalam pada itu, Shiera mengakui tidak pernah meletak titik nokhtah pada dunia lakonan meski jarang berpeluang untuk berlakon disebabkan kekangan masa.

Apatah lagi pengurusan Suria juga tidak pernah menghalang dirinya untuk terus aktif dalam cabang seni lain meski bergelar penyampai tetap stesen itu.

“Saya tidak pernah terfikir berhenti berlakon dan tawaran juga masih diterima sehingga hari ini walaupun kebanyakannya melibatkan watak sebagai mak.

Iklan

“Cuma saya tak dapat buat kerana terikat dengan jadual kerja di radio. Setiap hari saya bertugas di konti dan agar sukar untuk lari-lari ke set penggambaran,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.