SEPERTI yang diketahui umum, Pelakon Sharnaaz Ahmad dan bekas isteri, Noor Nabila sah bercerai 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mereka kini dilaporkan mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan tuntutan yang dimeterai dalam perjanjian penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Tuntutan yang dimeterai melalui surat ditandatangani kedua-dua pihak membabitkan nafkah edah, hadanah atau hak penjagaan dan nusyuz yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamed Fauzi Mokhtar.

Sharnaaz setuju nafkah anak RM1,200 sebulan

Melalui prosiding itu, peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Noor Nabila, 36, selaku plaintif mengemukakan bahawa pihak defendan iaitu Sharnaaz, 35, bersetuju untuk memberi nafkah edah sebanyak RM500 selama tiga bulan.

“Pihak defendan bersetuju untuk memberi nafkah anak RM1,200 sebulan termasuk defendan dibenarkan berjumpa anak mereka selain penarikan balik permohonan nusyuz difailkan defendan.

“Plaintif juga bersetuju untuk mengetepikan tuntutan mutaah melainkan sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dipindah milik kepada plaintif. Penjagaan anak turut diberikan kepada plaintif dan tuntutan nusyuz telah dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, Peguam Ummi Kartini Abd Latif yang mewakili Sharnaaz mengesahkan dan bersetuju dengan terma-terma dikemukakan dan dipersetujui.

Sharnaaz setuju nafkah anak RM1,200 sebulan

Selepas terma-terma itu dibacakan, Hakim Syarie Mohamed Fauzi bertanyakan kepada Sharnaaz dan Noor Nabila adakah mereka bersetuju dengan perjanjian tersebut, kedua-duanya bersetuju dan menerimanya sukarela termasuk tiada paksaan daripada mana-mana pihak.

Iklan

Sementara itu, Noor Nabila ketika ditemui selepas prosiding itu melahirkan rasa lega kerana dia dan Sharnaaz tidak perlu lagi datang ke mahkamah.

“Alhamdullilah semuanya selesai dan hari ini adalah hari saya datang ke mahkamah dan segalanya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Sharnaaz juga, ketika ditemui selepas prosiding berkata, dia bersyukur kerana kes ini akhirnya selesai selepas kedua-dua peguam berbincang dan bersepakat menyelesaikan kes.

Iklan

“Saya dan Nabila, keutamaan kami adalah Jebat. Walaupun kami tidak boleh meneruskan hubungan sebagai suami isteri, tapi kami masih berkawan,” katanya.

Sharnaaz dan Nabila yang juga ahli perniagaan berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden yang berusia dua tahun.