TIADA lagi khabar mahupun desas-desus, sebaliknya aktor popular, Remy Ishak memilih untuk menamatkan zaman bujangnya dengan wanita pilihan hati, Ezza Yusof atau nama sebenarnya Roszaliza Yusof, pada pagi Sabtu.

Dalam satu sesi sidang media secara maya pada pagi Jumaat, Remy berkata, dia bersedia untuk mengikat perhubungan yang terjalin sejak lapan tahun lalu dengan ikatan yang sah.

Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, sepanjang tempoh itu, hanya Ezza yang setia berada disisinya dalam susah mahupun senang.

“Sepanjang 8 tahun perjalanan perhubungan kami, saya selalu cakap pada diri bahawa saya perlukan seorang yang memahami dan mengenali diri saya.

“Bukan hanya kenal sebagai Remy Ishak tetapi Mohammad Zalimie Ishak. Jadi sepanjang mengenali dia, pelbagai pahit dan manis sudah kami lalui.

“Jatuh dan bangun saya, dia selalu ada di situ. Walaupun kami pernah bertunang dan kemudiannya putus, tapi itulah bak kata orang tua, kalau sudah jodoh tak ke mana. Saya nampak Ezza adalah wanita yang setia.

“Jadi pada tahun ke-8 perhubungan kami, saya putuskan untuk teruskan hidup dengan dia. Selepas ditimbang tara, she’s the one,” ujarnya.

Akui pelakon Pujaan Hati Kanda itu, ketika perhubungan mereka terhenti di tengah jalan, dia pernah cuba mengenali wanita lain, namun perhubungan itu tetap tidak berhasil.

“Tidak dinafikan setelah kami putus tunang, saya cuba juga kenal dengan orang lain, tapi tak boleh pergi jauh.

“Bukan sebab saya tak boleh lupakan Ezza, tetapi dalam perjalanan itu (mengenali orang lain) ada sebab ia tidak dapat diteruskan.

“Bagaimanapun saya selalu berhubung dengan Ezza dan dia sentiasa ada di situ,” jelasnya.

Iklan
Remy dan Ezza pernah mengikat tali pertunangan pada 2017, namun hubungan itu berakhir dua tahun kemudian.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai majlis pernikahannya yang dirancang berlangsung pagi esok, Remy berkata, dia bersyukur apabila impiannya untuk bernikah di masjid dimakbulkan.

Bagaimanapun dia akur apabila majlis itu hanya melibatkan skala kecil di mana hanya dia, Ezza dan wali sahaja yang dibenarkan hadir.

“Kami sudah lama berbincang untuk mendirikan rumah tangga. Sejak tahun lepas lagi, namun beberapa kali tertangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun pada asalnya kami nak tangguhkan sehingga masjid di buka, namun kami dimaklumkan oleh pejabat agama memaklumkan sudah boleh bernikah di masjid tetapi tidak ada tetamu yang hadir.

Iklan

“Apa pun saya bersyukur walaupun banyak perancangan tidak dapat dilaksanakan. Saya harap semua dipermudahkan nanti,” ujarnya.

Remy dan Ezza pernah mengikat tali pertunangan pada 2017, namun ikatan perhubungan mereka terputus pada 2019.

Bagaimanapun, hubungan mereka dikatakan kembali pulih tahun ini selepas Remy dilihat meraikan hari jadi Ezza bersama kawan-kawan bekas tunangnya itu.