PROFIL kejayaan yang dicipta penyanyi Shila Amzah meletakkan dirinya antara penyanyi wanita terbaik dalam negara.

Selepas muncul sebagai juara pada Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36), graf seni Shila, 32, atau nama sebenarnya NurShahila Amir Amzah kembali rancak menyusun langkah.

Tanpa menunggu lama, Shila melancarkan single Khilaf Asmara yang mana turut dipilih menjadi lagu tema drama Khilaf Asmara yang ditayangkan sepanjang Ramadan lalu di TV3.

Menurut Shila, lagu ciptaan komposer dan penyanyi terkenal Amylea dan diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music itu mempunyai kekuatan dari segi melodi dan lirik.

“Apa yang membuatkan saya bersetuju untuk bekerjasama sekali lagi dengan Amylea kerana kali ini ialah lagu dan lirik ciptaan daripada Amylea sendiri. Sudah tentu pertama kali mendengar demo lagu ini saya terus jatuh cinta.

“Kelebihan dan kekuatan lagu ini ia lebih pada melodi, dan juga lirik itu sendiri. Sebab pada ketika saya merakamkan lagu ini, saya pun sedang melalui sesuatu dalam hidup saya, jadi itu membuatkan lagu ini dekat dengan lirik lagu ini dan juga melodi lagu itu sendiri,” katanya.

Lebih menarik, wanita berusia 32 tahun itu cukup bertuah apabila lagu nyanyiannya dipilih sebagai lagu tema drama sekali gus menjadi medium terbaik bagi mempromosikan karyanya.

“Bagi saya, bila sesebuah lagu itu dipilih menjadi OST drama, ia secara tidak langsung sebagai bonus. Seperti saya lihat pada trend di Korea juga, di mana lagu OST drama itu dicipta khas.

“Saya suka projek sebegini kerana drama ini ada lagu khusus yang bersesuaian dengan perjalanan ceritanya,” ujar beliau.

Sebelum lagu Khilaf Asmara, Shila juga pernah bekerjasama dengan Amylea selaku penulis lirik menerusi lagu Tiada Dirimu.

Terbuka

Ditanya adakah dia selesa bekerjasama dengan komposer dan genre lagu sama pada masa akan datang, juara program The Masked Singer Malaysia musim kedua mengakui tidak ada masalah bekerja dengan sesiapa sahaja.

Iklan

“Kebetulan apa yang datang pada saya kebanyakannya lagu-lagu balada dan saya kalau dengar nama Amylea, saya memang selesa bekerja dengan dia.

“Lagipun saya sudah tahu cara dia bekerja dan kami mempunyai buah fikiran yang sama, sebab itu saya lebih mudah untuk bekerja dengan dia,” jelas ibu kepada seorang anak ini.

Tentu saja, menerusi lagu Khilaf Asmara peminat turut meletakkan harapan tinggi agar lagu itu dipersembahkan pada pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Mengulas mengenai harapan itu, Shila meletakkan semuanya pada rezeki Allah SWT.

Iklan

“Jika ada rezeki ke AJL, semestinya saya nak dan saya harap peminat akan doakan dan terus undi lagu ini di semua corong radio.

“Saya berharap jika lagu ini tercalon di dalam carta Muzik Muzik, saya pinta untuk peminat dapat mengundi lagu ini,” kata beliau.

Sebelum itu, Shila yang muncul menerusi single Tiada Dirimu yang dilancarkan oleh Seventeen Eleven Music tiga tahun lalu berjaya mencatat lebih 8.4 juta tontonan menerusi video muzik.