PELAKON Shima Anuar memaklumkan dia sudah bebas daripada jangkitan virus Covid-19 selepas menjalani ujian calitan (swab test) kedua pada Jumaat.

Menurut Shima, dia memperoleh keputusan pada Sabtu selepas seminggu menjalani kuarantin di rumah.

“Selepas hampir seminggu disahkan positif, saya ada baca jika CT value tinggi maknanya virus tak kuat jadi saya terus buat swab test lagi.

“Hari ini (Sabtu) keluar keputusan negatif, Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah,” ujarnya menerusi perkongsian di Instagram.

Shima juga turut berpesan kepada mereka yang masih positif agar sentiasa bersabar dan mengamalkan pengambilan vitamin C serta minum air panas bersama lemon.

“Terima kasih kepada yang mendoakan… Kepada yang baru sahaja dijangkiti Covid-19 atau masih dijangkiti, banyakkan bersabar, bertenang.

“Makan vitamin C, minum air panas bersama lemon banyak-banyak. Cuba untuk kuatkan imunisasi badan. Insya-ALLAH semuanya baik-baik nanti.

Iklan

“Saya juga doakan pesakit Covid lain cepat sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Keluarga Shima Anuar… Shima bersyukur apabila suami dan dua anaknya bebas virus pandemik itu.

Terdahulu, Shima memaklumkan dia membuat keputusan untuk membuat swab test setelah mengalami kesukaran bernafas dan sakit kepala.

Iklan

Biarpun tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana individu yang positif Covid-19, dia bagaimanapun disahkan dijangkiti virus itu sehari selepas membuat ujian.

Shima bagaimanapun bersyukur kerana swab test terhadap suaminya, Mohd Solih Toha dan dua orang anaknya, Mariam Sophia dan Mikhael Imaan didapati negatif.