Si kucing nakal kembali beraksi, Puss In Boots: The Last Wish cari bintang hajat

A
A
A

SELEPAS 11 tahun filem pertamanya mencuri perhatian penonton, kucing nakal, Puss In Boots kini kembali beraksi menerusi sekuel berjudul Puss In Boots: The Last Wish yang kini ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 22 Disember.

Karakter Puss In Boots mula diperkenalkan kepada penonton menerusi filem Shrek 2 (2004) sebelum dijadikan 'spin off' filem pertamanya pada 2011 setelah penampilan berjaya mencuri perhatian ramai.

Kini karakter sama tampil membawa pengembaraan baharu yang cukup menyeronokkan bersama watak-watak popular seperti Goldilocks and the Three Bears, Big Jack Horner dan lain-lain.

Gandingan Puss, Kitty Softpaw dan Perrito cukup menghiburkan.

Kisah Puss In Boots: The Last Wish bermula selepas kejadian dalam filem Shrek Forever After yang menyaksikan kucing comel itu menjadi legenda setelah berjaya mengalahkan raksasa jahat, namun mati ditimpa loceng besar secara tidak sengaja.

Selepas kejadian itu, Puss sedar dia kini hanya tinggal satu nyawa setelah lapan nyawa yang dimiliki sebelum ini sudah hilang akibat pelbagai insiden.

Biarpun tidak dapat menerima kenyataan tersebut, Puss terpaksa akur dan memilih kehidupan berbeza bersama sekumpulan kucing peliharaan Mama Luna dan berkenalan dengan anjing yang menyamar sebagai kucing bernama Perrito.

Namun hidupnya yang kemurungan itu kembali ceria apabila mendapat tahu tentang kewujudan bintang hajat, Mythical Last Wish yang dipercayai mampu mengembalikan semula lapan nyawanya yang hilang sebelum ini.

Bermulalah pemburuan Puss mendapatkan bintang hajat itu dengan menempuhi pelbagai rintangan termasuk berdepan Goldilocks and The Three Bears, Big Jack Horner, Serigala misteri dan bekas kekasihnya, Kitty Softpaw.

Aksi Goldilocks and The Three Bears sentiasa buat penonton tidak senang duduk.

Penceritaan Puss In Boots: The Last Wish disampaikan dengan ringkas dan tidak meleret-leret. Kisahnya mudah difahami, malah begitu menghiburkan dengan penampilan karakter-karakter yang berjaya mencuri perhatian dengan identiti mereka tersendiri.

Mesej

Puss walaupun sinonim dengan sikap suka berlagak, perwatakannya begitu mencuit hati dan sering kali mengundang gelak tawa penonton yang terhibur dengan aksi bersahajanya.

Banyak babak pertarungan yang menyeronokkan untuk ditonton dari awal sehingga kepada penghujung cerita.

Lebih daripada itu filem arahan Joel Crawford sebenarnya membawa mesej besar untuk difahami penonton, baik cilik mahupun dewasa. Setiap nyawa yang dimiliki harus dihargai dan dijaga dengan sebaik-baiknya agar kehidupan kita menjadi lebih bermakna.

Filem ini juga menekankan mesej kekeluargaan, persahabatan dan sikap percaya diri yang begitu kuat menerusi karakter-karakter yang dipaparkan.

Secara keseluruhannya, Puss In Boots: The Last Wish adalah sebuah filem cukup menghiburkan dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Puss In Boots: The Last Wish

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P13

Genre: Aksi/fantasi

Durasi: 1 jam 43 minit

Pengarah: Joel Crawford

Pelakon Suara: Antonio Banderas, Salma Hayek, Olivia Colman, Harvey Guillen, Samson Kayo

Tarikh Tayangan: 22 Disember 2022

Edaran: United International Pictures

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca