JIKA sebelum ini, namanya lebih dikenali dalam bidang pengacaraan, kini Uyaina Arshad semakin mengukuhkan namanya sebagai pelakon apabila deretan drama lakonannya mendapat perhatian ramai.

Mengakui tidak mudah menempatkan diri dan mendapatkan kepercayaan dalam bidang yang dianggap baharu buatnya, Uyaina atau nama lengkapnya, Saidatul Naseha Uyaina, tekad menyahut cabaran.

Terbaru, lakonannya menerusi watak Usu Sakinah dalam drama Perempuan Tanpa Dosa, mendapat respon cukup positif daripada peminat sehingga drama tersebut menjadi trending setiap kali bersiaran.

“Alhamdulillah, jujurnya memang tak sangka watak Usu Sakinah yang saya bawakan berjaya memberi impak yang sama sebagaimana pelakon-pelakon lain dalam tersebut sehingga ramai penonton teruja menantikan setiap episodnya.

“Sebagai pelakon, kita hanya melakukan yang terbaik untuk menghidupkan sesuatu watak itu, jadi apabila ia dapat memberikan rasa kepada penonton, saya anggap ia sebagai kejayaan peribadi.

“Bila tengok peminat beri maklum balas positif dan teruja mengikuti drama ini, saya berbesar hati dan rasa berbaloi dengan segala usaha yang dilakukan sepanjang penggambaran drama ini,” ujarnya kepada SinarPlus.

Tidak mahu tenggelam dengan kata-kata pujian, Uyaina sentiasa cuba memperbaiki diri dan masih mengambil kelas lakonan sehingga hari ini dalam usahanya untuk menjadi pelakon yang baik.

“Setiap kali mendapat skrip baharu, saya akan masuk kelas lakonan dengan Ibu Fauziah Nawi dan berguru dengannya.

“Walau sibuk macamanapun, saya akan tetap luangkan masa kerana bagi saya sesi tersebut sangat penting untuk saya terus belajar dan memperbaiki diri.

“Dalam masa sama, pengalaman juga banyak membantu. Bila kita dah selalu buat dan praktis, ia akan menjadi lebih baik dari hari ke hari,” katanya yang bakal tampil dengan dua telefilem baharu berjudul Menghapus Jejakmu dan Puteri Bulan tidak lama lagi.

Uyaina bersama Yusuf Bahrin, Uqasha Senrose dan Kamal Adli dalam drama Perempuan Tanpa Dosa

Mengenali hati budi Raja Syahiran

Berkongsi tentang rutin kehidupan norma baharu yang dijalani kini, Uyaina yang juga pengacara program Wanita Hari Ini, mengakui dirinya banyak menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku kesan pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda reda.

“Selain cara bekerja yang kini banyak berubah, saya tidak nafikan kehidupan seharian kita juga tidak lagi seperti dulu.

“Kalau dulu kita bebas untuk ke luar ke mana-mana, bersantai dengan kawan-kawan untuk mengisi masa terluang, kini semuanya sudah berubah dengan norma baharu.

“Rutin keluarga saya yang sering mengadakan perjumpaan untuk makan-makan dan mengeratkan hubungan juga tidak lagi menjadi amalan, semuanya sudah berubah.

“Pada awalnya memang agak tertekan apabila terpaksa hentikan kebiasaan yang dilakukan, tetapi lama-lama kita dengan sendirinya dapat menyesuaikan diri,” katanya.

Menyentuh tentang kehidupan peribadinya, Uyaina yang baru sahaja menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-28 pada 16 November lalu, dilihat mula terbuka untuk berbicara soal cinta.

Iklan

Malah Uyaina juga tidak menafikan hubungannya dengan penyanyi Raja Syahiran yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

“Bila orang bertanya, saya memang tidak menafikan kerana kami memang dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

“Pada usia 28 tahun ini saya mencari sesuatu yang ke arah lebih baik dan mungkin saya terbuka tentang hubungan dengan Raja Syahiran kerana selesa dengannya.

“Bagaimanapun bukanlah bermaksud saya akan berkongsi semuanya kerana sudah pasti ada perkara yang perlu dijaga.

“Apapun, cukuplah keluarga mengetahui tentang hubungan kami dan jika ada apa-apa berita baik yang pada masa akan datang, insya-ALLAH akan dikongsi pada semua,” ujarnya.

Iklan

Bagaimanapun, kata Uyaina, buat masa ini, dia mahu memberikan tumpuan terlebih dahulu kepada kerjaya yang yang sedang dibina.

“Kerjaya saya baru sahaja bermula dan nama pun masih ‘hijau’ dalam industri. Jadi adalah lebih baik fokus dulu dengan apa yang saya buat sekarang.

“Mungkin bunyinya agak cliché, tetapi saya juga mahu melihat usaha keras yang dilakukan dalam kerjaya selama ini memberikan hasil yang diiinginkan,” akhirinya.

 

(FOTO: Instagram Uyaina Arshad)