Simbolik ulang tahun ke-30, Nora Ariffin hadiahkan Naluri buat peminat
SIAPA yang tidak mengenali Datuk Nora Ariffin. Suaranya yang lunak lagi lembut dalam mengalunkan lagu genre pop, balada dan R&B pasti menawan halwa telinga ramai pendengar.
Itulah keistimewaan Nora, penyanyi yang memiliki ramai peminat di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Tahun 2021, genap 30 tahun perjalanan kerjaya seni Nora serta tahun keempat suaminya yang juga penerbit dan penggubah lagu, Allahyarham Johan Nawawi kembali ke Rahmatullah.
Justeru demi menghargai peminat tersayang, Nora ‘menghadiahkan’ lagu Naluri (Hadirlah Kekasih) yang dinyanyikan semula daripada lagu berjudul sama yang diterbitkan pada tahun 1996.
Istimewanya, lagu ini telah digubah dan dinyanyikan semula oleh figura berusia 47 tahun itu dan lengkap dengan video muzik terbaharu yang diarahkan oleh bakat muda, Raja Syahiran.
Ditanya mengapa memilih untuk menyanyikan semula lagu lamanya, Nora berkata, Naluri (Hadirlah Kekasih) menjadi pilihannya kerana ia memberi banyak kenangan buatnya terutama membabitkan arwah suaminya.
“Banyak kenangan saya dengan lagu ini. Paling utama lagu ini 100 peratus dicipta dan ditulis liriknya oleh Johan. Jadi, banyak ‘sentimental value’ dengan saya,” jelasnya.
Nora berkata, video muzik itu juga hadiah buat peminat sempena 30 tahun pembabitannya dalam industri muzik.
“Album Naluri adalah antara album terbaik saya. Ia juga banyak memberi kenangan manis dan sejarah buat saya,” katanya.
Berkongsi mengenai pembikinan video muzik yang dilakukan di Pulau Langkawi selama dua hari, Nora berkata, dia banyak mendapat pengalaman baharu sepanjang penggambaran.
“Dulu kita hanya buat penggambaran dalam studio dan ambil masa satu hari. Penggambaran kali ini melibatkan anak muda yang kreatif seperti Raja Syahiran selaku pengarah.
“Mereka turut menggunakan dron dan teknik video terbaru. Walaupun nampak perlahan, sebenarnya saya perlu melakukan gerakan yang lebih laju bersama mimik seperti menyanyi.
Tambah Nora, pembikinan video muzik berkenaan turut mendapat sokongan daripada jenama penjagaan kulit dari Korea Selatan, Prettian di mana Nora turut menjadi jurucakap produk itu.
“Saya berbesar hati kerana mendapat sokongan daripada Prettian. Video muzik ini juga hadiah daripada saya dan juga Prettian,” ujarnya.
Selain itu, Prettian juga akan mengadakan pertandingan tiktok #NaluriChallenge dengan hadiah menarik berupa wang tunai berjumlah RM2,000 bakal diberikan kepada pemenang bertuah.
Nantikan maklumat lanjut di Instagram @itsnoraariffin, Facebook Nora Ariffin dan Instagram / Facebook Prettian @prettian.my.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang