MAHU sentiasa berkongsi karya baharu dengan peminat, penyanyi Ernie Zakri kini tampil dengan single Sinar Mata Hati, menyaksikan gandingan pertama kalinya bersama komposer terkenal, Halen Yap, serta penulis lirik Roslen Fadzil.

Menurut pemilik nama lengkap Ernie Shahirah Zakri, 29, buah tangan terbaharunya itu cukup istimewa kerana ia pernah diangkat menjadi lagu tema, drama lakonannya, Suri Katrina.

Akui Ernie yang juga finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) itu, dia gembira selepas dua tahun berlalu, lagu Sinar Mata Hati akhirnya dapat dilancarkan dan diperdengarkan kepada umum.

“Lagu Sinar Mata Hati adalah projek dua tahun lalu. Jadi, apabila ia dapat dilancarkan secara rasmi kepada peminat, saya berasa sangat gembira kerana lagu ini akhirnya menjadi single terbaharu saya.

“Apa boleh saya katakan, mungkin ini adalah masa terbaik untuk lagu ini dilancarkan.

“Bukan sahaja mengharapkan ia diterima baik, tetapi semoga lagu ini juga menjadi bualan dan siulan pendengar yang sentiasa menantikan lagu baharu saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, single terbitan syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu terlebih dahulu hadir dengan video lirik sebelum penggambaran muzik video dilakukan.

“Buat masa sekarang, Sinar Mata Hati tampil dengan video lirik dahulu kerana belum ada perancangan tentang muzik video.

“Ditambah pula sekarang masih tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi saya percaya akan dapat buat juga nanti. Insya-ALLAH, akan datang,” katanya.

Berkongsi mengenai perjalanan dan proses menghasilkan lagu Sinar Mata Hati, Ernie berkata, lagu itu mencabar dirinya dari segi penghayatan dan emosi.

“Perjalanan rakaman lagu ini amat mudah sebab mendapat kerjasama baik daripada mereka walaupun ini merupakan kerjasama pertama antara kami di studio.

Iklan

“Ketika rakaman lagu ini, saya sibuk menjalani penggambaran drama Suri Katriana dan ia sekali gus memberi feel kepada lagu ini. Ia merupakan pengalaman sangat berharga.

“Lagu ini agak mencabar, walaupun tidak bernada tinggi atau memerlukan teknik vokal yang susah, tapi ia lebih kepada emosi berat,” katanya.

Dalam pada itu, Ernie mengakui cukup tertarik dengan barisan lirik yang terkandung dalam lagu tersebut yang disifatkan sebagai mempunyai maksud mendalam dalam kehidupan semua orang.

Iklan

“Sama seperti dalam drama, lirik lagu ini juga menceritakan tentang dendam dan saya tertarik dengan bahagian korusnya. Dia tahu dia salah dan meminta maaf , cuma hatinya penuh dendam.

“Menariknya, saya menyanyikan lagu tema yang menyaksikan saya sendiri turut berlakon dalam tersebut,” katanya.

Sinar Mata Hati dilancarkan secara rasmi pada Jumaat lalu dan kini boleh didapati di semua pelantar digital. Manakala lirik video pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.