Single kurang mendapat sambutan, Ayu Damit pasang strategi baharu

Ayu Damit
Ayu Damit
A
A
A

BIARPUN banyak perancangan dalam kerjaya seninya tertangguh dan tidak menjadi sebagaimana diharapkan, penyanyi Ayu Damit tetap bersemangat menunaikan janjinya untuk terus konsisten menghasilkan karya.

Ayu atau nama lengkapnya Norayu Damit, 32, mengakui single terbaharunya, Permata, yang dilancarkan pada Januari lalu kurang mendapat sambutan sebagaimana diharapkan.

Menurutnya lagi, sungguhpun lagu tersebut menepati apa diinginkan, namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, ia tidak dapat dipromosikan sepenuhnya.

“Ada beranggapan saya terlalu cepat mengeluarkan single terbaharu ini sebaik sahaja tamat Gegar Vaganza (GV) dan  konsep lagu yang sesuai dengan muzik semasa.

“Bagaimanapun pada saya, lagu itu menepati apa yang saya mahu, cuma tak dapat buat promosi menyeluruh kerana PKP.

“Single Permata pula agak mendalam maksudnya dan perlu diperdengarkan selalu agar orang memahami apa yang dibawakan dalam lagu itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ayu menzahirkan terima kasihnya kepada semua peminat, media dan stesen radio yang sentiasa menyokong karya seninya.

“Alhamdulillah single Permata sudah mendapat tempat di rangkaian stesen radio RTM dan saya harapkan perkara sama juga berlaku di radio swasta.

“Apa yang buat saya terharu, jumlah tontonan lirik video lagu ini di saluran YouTube Saudagar Seni (penerbit) mencecah 14,000 di mana ia lebih tinggi daripada jumlah subcribers mereka.

“Jadi dari situ saya dapat lihat, penonton adalah peminat yang betul-betul menyokong saya dan lagu Permata,” katanya.

Bercerita tentang perjalanan seninya selepas GV7, Ayu mengakui kembali mendapat pelbagai tawaran persembahan dan penampilan dan aktiviti seni.

Bagaimanapun kata Ayu, disebabkan PKP ia tidak menjadi kenyataan apabila banyak aktiviti dibatal dan ditangguhkan.

“Kalau nak kata kecewa, mungkin ada juga sedikit, tetapi saya tidak mahu menjadikan ia sebagai pematah semangat.

“Sementara aktiviti seni tertangguh, saya fokuskan kepada perniagaan di restoran dan kerja-kerja pertanian yang diusahakan sebelum ini.

Berkongsi mengenai perancangannya selepas ini, Ayu yang ditemui pada sidang media pelancaran koleksi 9 Generasi, rekaan pereka fesyen Azirun Ramly, berkata, dia kini dalam proses merangka pelbagai projek sepanjang tahun ini bagi memastikan terus aktif.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya berharat tampil dengan lagu raya dan diikuti dengan sebuah lagi single yang akan turut dilancarkan pada tahun ini,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca