SEJAK kemunculannya dengan lagu Cemas dan Salam 1001 pada April lalu, penyanyi rap Siqma berjaya mencuri perhatian pendengar muzik tempatan sehingga diberi jolokan ‘The New Malique’ oleh peminat.

Apatah lagi selepas Siqma muncul dengan single ketiganya, Raja Simurgh, pada Julai lalu, lagu yang dihasilkan bersama Kmy Kmo itu disebut peminat sebagai kolaborasi idaman dalam mengubat rindu mereka terhadap penyanyi rap, komposer dan penerbit tersohor, Malique.

Menerusi tona vokal, intonasi rap, seni lirik dan muziknya, Siqma mampu memperdaya peminat sehingga ada yang menyangkakan lagu Raja Simurgh itu adalah dendangan dan ciptaan Malique sendiri.

Bagai menyahut seruan peminat, Siqma kini muncul dengan lagu yang mendapat sentuhan Malique menerusi single keempatnya berjudul Dipinggirkan.

Turut ditampilkan dalam lagu itu ialah penyanyi duo, Fahimi Rahmat dan Mal Hamka atau lebih dikenali sebagai FML.

Siqma turut bekerjasama dengan FML untuk lagu Dipinggirkan.

Dipinggirkan merupakan ciptaan Malique dan Fahimi Rahmat. Manakala lirik pula ditulis bersama Malique, Kmy Kmo dan Siqma. Malique turut bertindak penerbit rakaman lagu ini.

Menerusi Dipinggirkan, Siqma cuba bereksperimentasi dengan rentak R&B pula. Pertama kali dendangkan karya ciptaan orang lain, Dipinggirkan merupakan percubaan Siqma pelbagaikan jenis dan gaya muzik dalam  karyanya.

“Peluang dendangkan karya ciptaan dan terbitan idola saya iaitu Malique adalah suatu pengalaman manis dan berharga. Ibarat impian jadi kenyataan,” katanya.

Mengulas tentang kolaboratifnya bersama duo FML, Siqma berkata, dia percaya FML adalah pilihan tepat.

Iklan

“Ketika proses pembikinan lagu, kami ada aura sama dan amat selesa bekerja dengan mereka,” ujarnya.

Menyifatkan lagu itu sebagai misi peribadi untuk memuaskan hati peminatnya, Siqma mensasarkan karya terbaharunya itu bukan sahaja mendapat sambutan positif pendengar, malah mampu membawanya ke pentas anugerah.

Iklan

Dipinggirkan berkisar tentang seseorang yang hampir berputus asa dan merasakan seperti dipinggirkan dunia.

Single terbitan Universal Music Malaysia itu boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox, Youtube Muzik, Channel Youtube dan juga Apple Music bermula 20 November lalu.