AKUR dengan situasi semasa akibat penularan pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda reda, pelakon Siti Saleha mengakui terpaksa menahan rindu untuk bertemu ibu dan keluarganya di England.

Menurut pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd Baharom, 30, adalah menjadi kelaziman buatnya untuk melawat ibu dan kakaknya di sana setiap tahun, namun tidak dapat dilakukan pada tahun ini berikutan larangan rentas sempadan negara.

“Ahli keluarga saya ramai berada di luar negara dan apabila pandemik melanda dunia, tentunya saya sangat terkesan.

“Setiap tahun saya akan melawat ibu dan keluarga di sana, tetapi pada tahun lalu saya tidak berkesempatan berbuat demikian kerana berada di Crotia.

“Jadi saya rancang untuk bertemunya pada tahun ini, tetapi berlaku pula pandemik Covid-19 menyebabkan hasrat tersebut tidak dapat disempurnakan.

“Dua tahun tak jumpa, memang ia sangat mencabar ketahanan mental saya. Mujurlah ada teknologi yang boleh menghubungkan kami, sekali gus mengubat kerinduan.

“Insya-ALLAH, sebaik sahaja sempadan negara dibuka, saya akan terus ke sana untuk bertemu mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saleha ketika ditemui di majlis penghargaan drama 7 Hari Mencintaiku 2, baru-baru ini, mengakui terkejut apabila dimaklumkan drama lakonannya itu bakal disambung untuk musim ketiga pada tahun hadapan.

Menurut Saleha, dia tidak ada masalah untuk menimbang penglibatannya dalam musim terbaharu itu, namun sebagai seorang pelakon dia amat mementingkan tentang kualiti naskhah.

“Setakat ini saya belum tahu bagaimana plot atau jalan cerita musim ketiga itu, tapi saya percaya karya Siti Rosmizah selalunya tidak akan mengecewakan.

“Cuma apabila naskhah ini tampil dengan musim baharu, kita tidak dapat lari daripada dilema apakah naskhah itu mampu mengulangi kejayaan musim terdahulu,” ujarnya.

Bersama barisan pelakon 7 Hari Mencintaiku 2

Elak drama episod panjang

Meski seronok apabila drama lakonannya mendapat sambutan baik daripada penonton, Saleha dalam masa sama memberitahu, dia kini cuba mengurangkan penglibatannya dalam drama berepisod panjang.

Iklan

Bukan kerana syarat diletakkan suami, Ahmad Lutfi Azhar, 34, tetapi ia adalah pilihannya sendiri yang mahu membahagikan masa antara kerja dan perkara lain dalam hidupnya dengan sebaik mungkin.

“Dah penat buat drama panjang dan banyak episod, apatah lagi bila kena siapkan cepat kerana mengejar tarikh tayangan.

“Bukan senang jadi pelakon, kadang-kadang kita perlu kerja lebih dari 12 jam sehari, selain pelbagai cabaran lain.

“Jadi saya kurangkan buat drama episod panjang untuk elakkan kerja sampai lewat malam dan mudah penat,” tegasnya yang bakal terlibat dalam projek baharu bersama Viu Malaysia tidak lama lagi.

Iklan

Mengulas tentang perancangan cahaya mata, Saleha yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga berkata, dia menyerahkan soal itu kepada rezeki.

“Saya dan suami tidak pernah berdepan tekanan dalam soal ini. Kita memang mahukan anak, tetapi ia berbalik pada rezeki. Doakan yang baik-baik untuk kami,” akhirinya.

 

(FOTO: Instagram Siti Saleha)