LEBIH seminggu disahkan positif Covid-19, penyanyi Siti sarah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada Rabu.

Difahamkan isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu yang sedang hamil lapan bulan itu mengalami batuk berterusan sejak semalam menyebabkan tahap oksigen dalam badannya semakin menurun.

Sarah sepatutnya memotong gelang kuarantin pada Rabu, namun disebabkan keadaan terkini kesihatannya yang kurang memuaskan akibat batuk dan penurunan oksigen dalam badan membuatkan dia terpaksa mendapatkan rawatan lanjut.

Shuib menerusi perkongsian di laman Instagramnya telah memuat naik video Sarah yang sedang menggunakan bantuan oksigen memeluk anak-anak mereka sebelum dibawa ke hospital dengan menaiki ambulan kira-kira 6.30 petang.

“Saya mohon doakan isteri saya, Siti Sarah Raissuddin. Doakan semoga dia dan anak dalam kandungan diberi kesihatan kembali dan dipermudahkan segala urusan. Allah maha segalanya,” tulisnya.

Iklan

Meninjau ruangan komen, rakan-rakan selebriti dan pengikut di laman Instagram miliknya turut meluahkan rasa simpati dan menitipkan doa agar Sarah dan bayi dalam kandungan dalam keadaan yang baik dan segera sembuh.

Terdahulu Sarah, Shuib, tiga orang anak mereka termasuk pembantu rumah, menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.

Iklan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shuib Sepahtu (@shuibsepahtu)