SIRI Squid Game dari Korea Selatan memenangi anugerah siri TV jangka panjang terbaik di Anugerah Gotham, menjadi pemenang pertama dari negara itu pada majlis anugerah untuk filem indie dengan bajet rendah dan Siri TV di Amerika Syarikat, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pada majlis anugerah yang berlangsung di Cipriani Wall Street di New York City pada Isnin (waktu AS), drama bersiri yang disiarkan di Netflix itu menerima anugerah Breakthrough Series — Long Format (melebihi 40 minit), menewaskan Small Axe, It’s A Sin, The Good Lord Bird, The Underground Railroad dan The White Lotus.

Bagaimanapun, pelakon utamanya Lee Jung Jae tidak memenangi kategori Persembahan Cemerlang dalam kategori Siri Baharu.

Sebaliknya, Thuso Mbedu dalam The Underground Railroad dan Ethan Hawke dalam The Good Lord Bird berkongsi anugerah itu.

“Kisah ini mengambil masa 12 tahun untuk dihasil dan dipersembahkan kepada orang ramai, tetapi ia mengambil masa kurang daripada 12 hari untuk menjadi drama bersiri no. 1 di planet ini. Ia satu yang menakjubkan.

“Terima kasih kerana menonton dan menyukainya. Terima kasih banyak-banyak,” kata penulis dan pengarah Hwang Dong Hyuk dalam ucapannya.

Iklan

Ini kali pertama kandungan buatan Korea Selatan menerima kemenangan di Anugerah Gotham, yang dianjurkan oleh Projek Pembuat Filem Bebas (Indie), yang juga merupakan anugerah filem awal sebelum Anugerah Akademi yang dijadualkan pada Mac.

Iklan

Drama/Filem yang dibuat dengan anggaran kos di bawah AS$35 juta layak dicalonkan di Gotham. Sejak disiar secara rasmi pada 17 September, Squid Game menyapu bersih carta popular Netflix di seluruh dunia, menduduki tangga pertama di lebih 90 negara di mana perkhidmatan penstriman itu boleh didapati.

Ia juga menjadi kandungan Netflix yang paling banyak ditonton sepanjang masa, dengan jumlah penstriman 1.65 bilion jam pada empat minggu pertama penyiarannya. — BERNAMA