MEWARISI bakat seni daripada kedua ibu bapanya, pelakon Oktovia Manrose semakin ligat membina nama dengan menggunakan setiap peluang yang datang dengan sebaiknya.

Setelah berjaya menempatkan diri dalam dunia lakonan sebagaimana yang diharapkan oleh arwah ibunya, pelakon terkenal era 1980an, Rosnah Mohd Noor, Oktovia kini memberanikan untuk menceburi bidang nyanyian seperti bapanya, Iwan Syahman.

Bakal tampil dengan single sulungnya tidak lama lagi, pemilik nama sebenar Wan Syamira Putri Oktovia, 29, mengharapkan agar percubaannya itu membuahkan hasil diharapkan.

“Sebenarnya sejak dari dulu minat saya lebih kepada nyanyian, cuma mungkin sebelum ini saya belum bersedia untuk memulakan langkah dengan lebih serius.

“Bila dah lama berlakon, keinginan untuk mencuba dalam bidang nyanyian kembali semula dan saya rasa mungkin inilah masanya.

“Kebetulan single yang dirancang itu juga bakal menjadi OST sebuah drama lakonan saya tidak lama lagi,” katanya.

Meski bapanya dikenali sebagai penyanyi dangdut, Oktovia pula lebih cenderung kepada genre R&B dan Hip Hop.

“Saya suka R&B dan sedikit Hip Hop kerana genre tersebut kena dengan jiwa saya. Malah saya juga suka menari sejak dulu dan cuba untuk explore minat saya dalam seni.

“Bagaimanapun saya tahu bukan mudah untuk menjadi seorang penyanyi yang baik jika tiada bakat dan usaha.

“Saya belajar banyak perkara baharu dalam fasa untuk bergelar penyanyi, Seronok, tapi dalam masa perlu lebih fokus,” katanya yang turut meminati bidang pengacaraan.

Dalam perkembangan lain, heroin drama Bila Cupid Jatuh Cinta itu kembali merencana kerjaya seninya lebih teratur apabila memilih untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan Absolut Talent & Management.

Lebih enam tahun bergerak sendiri semenjak awal pembabitannya dalam bidang seni, Oktovia mengakui berdepan dengan pelbagai cabaran yang kadang-kala sukar ditangani.

“Sebelum ini semua urusan saya lakukan sendiri dan tentunya tidak mudah kerana saya sendiri tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang seni.

“Alhamdulillah apabila berada di bawah syarikat pengurusan, semuanya berjalan lancar kerana mereka uruskan semuanya dan saya hanya perlu fokus pada lakonan.

Iklan

“Lebih daripada itu, syarikat pengurusan saya menyediakan pelbagai insentif termasuk insurans dan slip gaji yang tentunya memberikan banyak kemudahan kepada saya,” katanya yang menyimpan impian untuk membeli rumah sendiri hasil titik peluh dalam bidang seni.

Tidak sorok status diri

Menyentuh tentang kehidupan peribadinya, mungkin ramai yang tidak tahu kakak kepada pelakon Apreena Manrose itu merupakan seorang ibu tunggal dan memiliki anak lelaki bernama Muhammad Rayyan Zafariel yang kini berusia lapan tahun.

Menurut Oktovia, dia tidak pernah menyembunyikan status dirinya kepada umum, cuma mungkin disebabkan dia jarang berkongsi perihal kehidupan peribadinya di laman sosial, ramai yang tidak tahu.

“Saya berkahwin pada tahun 2011, ketika usia 20 tahun, namun jodoh tidak panjang dan bercerai dua tahun kemudian.

“Saya tiada masalah dengan gelaran janda dan status ibu tunggal kerana itu lumrah kehidupan.

Iklan

“Apa yang penting saya buat yang terbaik untuk anak kerana dia adalah amanah yang ALLAH berikan pada saya.

“Bukan senang membesarkan anak bersendirian, tetapi saya bersyukur dapat bertahan dan anak menjadi penguat semangat untuk saya meneruskan kehidupan,” luahnya bersedia membuka pintu hati andai bertemu lelaki yang menerima diri seadanya.

 

(FOTO: Instagram Oktovia Manrose)