PELAKON kelahiran Malaysia-Singapura, Lawrence Wong kini menjadi sensasi terbaharu di rantau Asia selepas drama lakonannya Story Of Yanxi Palace menjadi fenomena di seluruh dunia.

Drama epik 70 episod itu mendapat jumlah tontonan mencecah 15 bilion di platform tontonan digital popular dari China iaitu iQIYI yang boleh ditonton secara percuma di iQ.com atau muat turun aplikasi iQIYI di AppStore atau PlayStore.

Dipasarkan ke lebih 70 buah negara di seluruh dunia, drama bersiri itu telah menjadi salah sebuah drama televisyen yang terbesar di Asia pada tahun 2018.

Tidak hanya itu, ia juga merupakan siri televisyen yang paling dicari di Google pada tahun yang sama.

Populariti daripada drama tersebut juga memberi tempias kepada Lawrence, 32, dalam membina nama dan kerjaya seninya ke pasaran lebih besar.

“Sewaktu drama ini hangat ditayangkan, jumlah pengikut akaun media sosial Weibo milik saya naik mendadak daripada 600,000 kepada lebih daripada 3 juta pengikut.

“Populariti yang diraih itu juga membawa kepada pelantikan saya sebagai Duta VIP Antarabangsa iQIYI yang pertama di dunia.” ujarnya.

Mengulas lanjut pelantikannya itu, aktor kelahiran Johor Bahru ini meluahkan rasa gembira atas pemilihan dirinya sebagai duta saluran terbabit.

“Saya gembira dan bangga kerana dipilih di antara ramai lagi selebriti lain di seluruh dunia.

“Pelantikan sebagai duta iQIYI ini juga dianggap sebagai hadiah terbaik untuk hari jadi saya yang jatuh pada tarikh sama iaitu 5 Ogos,” luahnya.

Sebelum ini, nama Lawrence terkenal di kalangan peminat di rantau Asia Tenggara terutamanya Malaysia dan Singapura sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke China pada tahun 2016.

Iklan

Sehingga kini iQIYI telah mempunyai lebih daripada 100 juta pelanggan tetap dan 500 juta penonton aktif di seluruh dunia.

Menerusi pelantikan Lawrence sebagai duta antarabangsa, jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat.

Dalam pada itu, Lawrence kini sedang menjalani penggambaran filem terbaharu lakonannya, The Ferryman: Legends of Nanyang, di Johor Bahru untuk siaran iQIYI.

Iklan

Para penonton boleh mula menonton siri Story of Yanxi Palace di samping menikmati senarai tontonan menarik di iQIYI menerusi pelbagai judul drama Cina, Korea serta Melayu.

 

(FOTO: iQIYI)