AIDILFITRI kali ini ternyata berbeza apabila negara sudah memasuki fasa peralihan endemik, sekali gus menyaksikan kemeriahan sambutannya bakal kembali seperti sebelum pandemik.

Menyedari situasi tersebut, dua label hiburan terkenal tanah air, Rocketfuel Entertainment dan Universal Music Malaysia, bergabung sekali lagi dengan menampilkan sebuah single raya istimewa berjudul Suara Lebaran Kita.

Lagu tersebut merupakan kolaborasi antara Hael Husaini dan kumpulan wanita popular, Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya.

Menurut Hael, gabungan tersebut merupakan satu kelainan di mana sebelum ini dia hanya menyanyikan lagu raya secara solo.

“Jika sebelum ini lagu-lagu raya saya selalunya keseorangan, kali ini saya hendak ‘berteman’ pula. Jadi saya mempelawa Dolla untuk berkolaborasi dan mereka memberi respons yang baik,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang lagu ciptaannya bersama Ezara Kong itu, Hael berkata, lagu raya rancak dalam nuansa pop dansa tersebut mempunyai feel moden, namun masih mengekalkan bunyi kemeriahan sambutan Hari Raya itu sendiri.

“Lagu ini saya cipta bersama Ezra Kong dan kami memasukkan elemen K-pop yang sememangnya sinonim dengan Dolla tetapi telah ‘diMelayukan’ mengikut kesesuaian.

“Peminat harus mendengar sendiri lagu ini dan mereka akan dapat rasakan kelainannya,” katanya.

Sementara itu, Dolla yang sebelum ini sinonim dengan lagu raya berjudul Raya Raya Raya mengakui teruja apabila pertama kali berkerjsama dengan Hael Husaini.

Sabronzo yang mewakili Dolla berkata, biarpun sibuk dengan jadual kerja yang padat, mereka tetap mengambil peluang untuk merakamkan single raya bersama Hael kerana menganggap peluang tersebut tidak selalu diperoleh.

“Sudah tentunya kami sangat teruja dan terkejut apabila artis sehebat Hael ingin berkolaborasi dengan Dolla.

“Kami seronok bekerja dengan Hael dan Ezra kerana ada chemistry, malah proses rakaman di studio hanya mengambil masa selama lima jam sahaja disebabkan bimbingan mereka berdua yang sungguh profesional.

Iklan

“Walaupun lagu ini agak berbeza dengan genre yang biasa kami bawakan, namun melodinya mengasyikkan dan sangat unik,” ujar Sabronzo.

Konsep retro

Lagu Suara Lebaran Kita menceritakan tentang perasaan rakyat Malaysia yang mendambakan kemeriahan sambutan Hari Raya bersama keluarga serta saudara-mara sebagaimana sebelum pandemik dan pada tahun ini ia menjadi kenyataan.

Bercerita tentang pembikinan muzik video (MV), Tabby berkata, konsepnya sangat menarik apabila menampilkan suasana retro dan elemen fantasi.

Iklan

“Konsep MV single ini sangat comel dan segar dalam suasana retro yang diselitkan dengan elemen fantasi. Kami semuanya menjadi sebuah lukisan yang kemudiannya dihidupkan.

“Dolla dan Hael berharap agar peminat-peminat kami sukakan single raya ini kerana mesej kegembiraan dan kebersamaan yang ada di dalamnya.

“Semoga raya kali ini memberi kegembiraan dan makna buat semua,” ujar Tabby yang bakal beraya bersama Angel di rumah Syasya dan Sabronzo.

Single Suara Lebaran Kita, kini boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBOX, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Sementara  MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.