HAMPIR 15 tahun bergiat aktif dalam bidang seni, pelakon Hairi Safwan semakin masak dengan asam garam industri.

Berpegang teguh pada prinsip diri, pemilik nama penuh Muhammad Hairi Safwan Aznan ini tidak pernah terpengaruh dengan ledakan populariti untuk memasarkan diri.

Baginya, kerja keras dalam setiap kerja dan peluang yang diberikan adalah jalan terbaik untuk memajukan diri, selain pendapatan yang berbaloi untuk kelangsungan hidup.

Bagaimanapun kata Hairi, 35, kejujurannya ada kala dipergunakan sesetengah pihak sehingga pada akhirnya dia seolah-olah ditindas terutamanya melibatkan soal bayaran.

“Dulu sebelum menerima sesuatu tawaran saya akan utamakan naskhah, tetapi sekarang saya akan tanya juga tentang bayaran.

“Kalau mereka letak harga yang tidak ‘cantik’ atau proses pembayarannya sedikit merumitkan, saya tidak akan ambil. Sudah banyak kali saya terkena dan tidak mahu lagi jadi mangsa dalam soal begini.

“Memang kita minat dengan kerja yang dilakukan, tetapi dalam masa sama biarlah apa yang dilakukan itu dibayar setimpal. Jika tawaran tak berbaloi, saya akan tolak dengan baik,” ujarnya.

Sedar

Tambah duta pertanian negeri Kedah itu lagi, jika dulu dia akan menerima apa sahaja tawaran walaupun sedar bayaran diberikan tidak berbaloi kerana takut kehilangan peluang kerja, sekali gus menjejaskan pendapatannya untuk menyara keluarga.

Namun sekarang tidak lagi kerana Hairi yang juga merupakan pensyarah sambilan untuk kursus Teater Tradisional di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu enggan terus dipergunakan pihak tertentu dan mahu lebih bijak mengatur kerjaya seninya.

“Dulu orang bayar macam manapun saya okey saja, tetapi sampai satu masa kita sedar orang sedang pergunakan kita. Jadi sekarang saya lebih tegas dalam soal ini.

“Sebelum terima apa-apa tawaran saya akan bincang soal bayaran terlebih dulu. Kalau dapat tawaran pada saat-saat akhir, saya juga akan minta bayaran bersesuaian dengan situasi itu sebelum bersetuju.

“Saya tidak kisah apa mereka nak fikir kerana tidak mahu bergaduh pasal duit di kemudian hari,” katanya.

Iklan
Hairi memegang watak sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam teater Cikgu Anda yang bakal dipentaskan pada 10 Jun ini.

Dalam perkembangan lain, Hairi kini sedang gigih membuat persediaan untuk teater terbaharu lakonannya, Cikgu Anda yang bakal dipentaskan di Hotel Grand Barakah, Ampang, pada 10 Jun ini.

Menerusi teater yang mengangkat perjuangan Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia yang membantu pelajar yang keciciran dalam pelajaran sekitar era 1970-an itu, Hairi memegang watak sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pengasas Yayasan tersebut.

“Saya bersetuju untuk buat teater ini kerana naskhahnya yang menarik, selain mendapat tahu ia turut dilakonkan oleh Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

“Namun cabaran besar menanti kerana saya hanya ada masa kurang seminggu untuk buat latihan sebelum pementasan sebenar berlangsung. Skripnya pula panjang dan penuh fakta.

Iklan

“Bagaimanapun, saya difahamkan watak saya sebagai Anwar ini hanya simbolik kepada tokoh itu sahaja dan tidak perlu untuk tampil seperti karakter sebenar dirinya. Jadi saya cuba berikan yang terbaik,” katanya.

(FOTO: INSTAGRAM HAIRI SAFWAN)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi