SELEPAS dua minggu berturut-turut berada di kedudukan tercorot, penyanyi asal Indonesia, Upiak Isil akhirnya diumumkan tersingkir daripada pentas Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Ahad.

Konsert minggu keenam yang mengangkat tema Langkah Seiringan dengan menampilkan lagu duet bersama bintang-bintang BBNU itu menyaksikan Upiak menyampaikan lagu Sembunyi bersama penyanyi undangan, Usop.

Bagaimanapun persembahan tersebut kurang menarik perhatian barisan juri yang hanya memberikan markah sebanyak 56.30 peratus (%) sekali gus paling rendah di antara peserta yang bertanding.

Akur dengan penyingkiran tersebut, Upiak menyifatkan tiada rasa kecewa yang timbul dalam diri sebaliknya menghargai pengalaman yang diperolehi sepanjang beraksi di GV8.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membawa saya dalam program ini. Saya tidak berasa sedih kerana saya sudah berjuang sebaiknya.

“Kemampuan kita ada batasnya, tak boleh kecewa. Kalau tak ada rezeki di sini, keluar nanti ada lagi rezeki lain. Kalau tak menyanyi, ada lagi kerja lain,” ujarnya.

Sementara itu, Suki Low beraksi cemerlang menerusi lagu Tiga Malam Tanpa Bintang bersama Khai Bahar. Persembahan mantap yang ditampilkan itu bukan sahaja memikat hati juri, tetapi turut mendapat pujian daripada peminat sehingga menjadi bualan di media sosial.

Kedudukan di tempat pertama dengan markah tertinggi 83.70 itu melayakkan Suki menerima Anugerah Bintang Paling Power Meow, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 dan produk Adabi bernilai RM500. Selain itu, Suki turut menerima Anugerah Betul Betul Luar Biasa Digi.

Sementara kumpulan Sa.Ya pula buat kali kelima dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cuckoo.

Iklan

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap, manakala Jennifer Thompson sebagai juri jemputan.

Selain Suki, konsert minggu ketujuh diteruskan dengan kemaraan Aliff Aziz, Adibah Noor, Aweera, Shidee, Nikki Palikat, Ani Mayuni, Azan Scan, Sa.Ya dan Bandi Amuk.

GV8 dihoskan pasangan pengacara serasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam bermula 21 November lalu.

Iklan

Kedudukan peserta dan markah penuh konsert minggu ke-6.

  1. Suki Low (Duet bersama Khai Bahar/Tiga Malam Tanpa Bintang) – 83.70%
  2. Aliff Aziz (Duet bersama Iman Troye/Belenggu Rindu) – 76.20%
  3. Adibah Noor (Duet bersama Ali Sariah/tanya Sama Itu Hud Hud) – 790%
  4. Aweera (Duet bersama Azmi Saat/Setahun Sudah Berlalu) – 90%
  5. Shidee (Duet bersama Haqiem Rusli/di Susut Kamar Hatiku) – 64%
  6. Nikki Palikat (Duet bersama Syamel/Gurindam Jiwa) – 62.50%
  7. Ani Mayuni (Duet bersama Dini Rashid/Chikadun) – 61.80%
  8. Azan Scan (Duet bersama Tajul/Malam Semakin Dingin) – 61.20%
  9. Ya (Duet bersama Ernie Zakri/Hampir Ke Situ) – 60.90%
  10. Bandi Amuk (Duet bersama Ewal/Separuh Nafas) – 56.40%

 

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)