STESEN radio pilihan ramai, Suria FM mencatat sejarah tersendiri apabila memenangi anugerah Media Pelancongan Kreatif Terbaik pada Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada Jumaat lalu.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, menganggap pengiktirafan tersebut sebagai pencapaian cukup bermakna buat stesen itu setelah 15 tahun bertapak dalam industri radio tanah air.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Santai Travel dan beberapa rakan kerjasama lain seperti Islamic Tourism Centre, Tourism Malaysia, MiTDA kerana memilih Suria FM sebagai pemenang bagi anugerah berprestij pada kali ini.

“Pengiktirafan ini akan menjadi satu batu loncatan buat Suria FM untuk terus membantu dan mempelopori sektor pelancongan di Malaysia dengan menghasilkan lebih banyak kandungan video yang kreatif di samping mempromosikan industri pelancongan seperti makanan, perhotelan dan sebagainya di stesen radio kami,” katanya.

Grand Stand Suria

Dalam pada itu, Suria FM baru-baru ini telah menganjurkan #GrandstandSuria E-Sukan Piala Dunia 2022 bertempat di Cyberatorium, Menara Star yang dihadiri lebih 100 orang tetamu.

Program julung kali itu diadakan oleh Suria FM bersempena Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar, sekali gus dalam usaha melebarkan sayap digital Suria ke platform ‘gaming’ di samping menjadi inisiatif untuk mendekati pendengar setia yang sentiasa menyokong Suria melalui saluran digital dan media sosial Suria Malaysia.

#GrandstandSuria E-Sukan Piala Dunia 2022 ini telah dimeriahkan lagi dengan perlawanan secara atas talian yang dibarisi oleh penyampai Suria FM iaitu Ajak, Shuib, Tyzo serta selebriti tanah air seperti Luqman Podolski, Akim Ahmad, Tomok, Jaa Suzuran, Eric Floor 88 dan ramai lagi.

Menurut DJ Lin, jumlah tontonan live E-Sukan itu telah mencatat lebih 3000 tontonan di seluruh platform media sosial Suria FM.

Iklan

“Kami sangat teruja dengan sambutan baik daripada selebriti tanah air dan sokongan peminat Suria FM yang menyokong dan menonton perlawanan E-Sukan Piala Dunia Suria 2022.

“Selain itu, kami di Suria FM juga dalam perancangan untuk mengembangkan program E-sukan ini ke pelbagai cabang seperti permainan konsol yang lain dan tidak hanya tertumpu kepada bola sepak sahaja,” katanya.

Iklan

Edisi julung kali itu dimenangi Luqman Podolski yang mengalahkan Putu Ceri daripada Kugiran Masdo melalui penentuan sepakan penalty, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Tomok yang menewaskan Amir Floor 88.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.