PELAKON komedi Syanie, kembali bergelar isteri apabila selamat disatukan dengan perunding kewangan, Zahril Hafiz Mohammed Nor, 41, kira-kira 9 pagi hari ini.

Majlis ijabkabul pasangan ini dilangsungkan dalam suasana ringkas di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berwajib.

Menurut Syanie atau nama penuhnya Syaniza Hisham, 47, tiada wang hantaran diserahkan, sebaliknya hanya mas kahwin dalam bentuk gelang emas diserahkan pengantin lelaki.

“Alhamdulillah majlis pagi tadi berjalan sempurna seadanya.

“Sepatutnya kami merancang mengadakan resepsi pada 21 Februari ini, namun disebabkan PKP, mendorong kami menundanya dulu,” katanya.

Syanie terpikat dengan keikhlasan dan kejujuran Zahril.

Berkongsi ciri istimewa yang ada pada suami sehingga berjaya membuka pintu hatinya, jelas Syanie, dia tertarik dengan keikhlasan dan kejujuran lelaki berstatus duda tanpa anak itu.

“Ikutkan dia mula mendekati saya sejak tiga tahun lalu. Ketika itu, saya fikir belum masanya cari pengganti. Pengajaran lalu, mematangkan saya.

“Bagaimanapun setahun lalu, dia bersungguh-sungguh mahu memancing hati saya dan pada Jun tahun lalu, dia suarakan isi hati kepada ibu untuk memperisterikan saya.

Iklan

“Sikap budimannya juga antara sebab yang buat saya tersentuh. Dia menjadi lelaki pertama yang berani cakap nak kahwin dengan saya dekat ibu,” katanya.

Sebelum ini Syanie mengambil pendekatan untuk tidak menghebahkan tentang hubungan cintanya dengan suami, termasuk majlis pertunangan mereka yang berlangsung pada tahun lalu.

Terdahulu Syanie pernah mendirikan rumah tangga pada 1996 sebelum bercerai pada 2002. Manakala perkahwinan keduanya pula pada 2014 dan bertahan selama dua tahun.

Iklan

 

(FOTO: Thelane.my)