PELAKON komedi, Syanie Hisham kini tampil bertudung dan memilih untuk melakukan penghijrahan istimewa itu serentak dengan hari pernikahannya pada 19 Februari lalu.

Menurut Syanie, 47, keputusan tersebut tentunya paling menggembirakan suaminya, Zahril Hafiz Mohammed Nor, yang sentiasa menyokong apa yang terbaik buat dirinya.

“Ketika masih bergelar tunang, saya ada berkongsi dengan suami mengenai hasrat untuk bertudung.

“Saya ada beri bayangan akan bertudung secara rasmi pada hari pernikahan. Dia pun paling suka dengan apa yang saya bakal lakukan.

“Alhamdulillah, saya kotakan perkara itu saat kami diijabkabulkan,” katanya.

Syanie dan suami mengikat tali pertunangan pada Ogos 2020, sebelum diijakabulkan pada 19 Februari lalu.

Iklan

Ini merupakan perkahwinan kali ketiga Syanie dan kali kedua buat Zahril, 41, yang berstatus duda tanpa anak.

Menurut Syanie, dia memilih Zahril kerana tertarik dengan keikhlasan dan kejujuran suami yang benar-benar mahu memperisterikannya.

Iklan

“Dia bersungguh-sungguh mahu memancing hati saya dan pada Jun tahun lalu, dia suarakan isi hati kepada ibu untuk memperisterikan saya.

“Sikap budimannya juga antara sebab yang buat saya tersentuh. Dia menjadi lelaki pertama yang berani cakap nak kahwin dengan saya dekat ibu,” katanya yang bakal tampil dengan filem terbaharunya, Hantu Kuat Ketawa tidak lama lagi.