BIARPUN sibuk menguruskan perniagaan makanan yang kini semakin mendapat perhatian ramai, pelakon komedi, Syanie mengakui rindu untuk kembali aktif berlakon seperti dulu.

Kehilangannya selama ini bukan kerana sudah tidak berminat dengan dunia lakonan, namun kata Syanie atau nama penuhnya Syaniza Hisham, kebanyakan tawaran yang datang seperti tidak menghargai bakatnya.

“Terus terang saya katakan memang tidak banyak tawaran lakonan datang, hanya satu dua.

“Bagaimanapun, yang satu-dua itu pula datang dengan tawaran tidak munasabah di mana bayaran ditawarkan terlalu rendah dan tidak masuk akal dengan komitmen dan masa yang perlu berikan.

“Bayangkan ada yang memberikan tawaran dengan ‘rate’ sama seperti mana waktu awal saya berlakon dulu, sedangkan saya kini sudah hampir 30 tahun dalam bidang lakonan.

“Ini bukan soal demand, cuma janganlah terlalu merendah-rendahkan pelakon lama macam saya, sebaliknya hargailah bakat dan pengalaman yang kami ada,” ujar Syanie kepada SinarPlus.

Tidak hanya itu, tambah Syanie, dia juga tidak terkecuali berdepan trend tawaran yang menuntut jumlah pengikut tinggi di media sosial, berbanding kemampuan lakonan yang ada pada seseorang pelakon itu.

“Sebelum ini saya ada mendapat tawaran berlakon bayaran dan wataknya sesuai, namun ditolak pula oleh stesen TV pula kerana katanya saya tidak mempunyai jumlah pengikut media sosial yang ramai.

“Mungkin mereka fikir saya tak dapat menarik penonton atau menaikkan rating dengan jumlah pengikut yang tidak mencapai piawaian, tapi saya OK saja kerana itu hak mereka.

“Jadi itulah sebab kenapa saya lama tak berlakon dan lebih banyak menumpukan perhatian kepada perniagaan makanan yang saya buat sekarang,” katanya yang aktif berniaga Pizza hasil air tangannya sendiri.

Bakal tampil filem baharu

Bagaimanapun kata Syanie, tidak lama lagi dia bakal tampil mengubati rindu peminat menerusi filem terbaharunya, Hantu Kuat Ketawa, yang akan memulakan penggambaran pada pertengahan Januari depan.

“Alhamdulillah setelah lama menunggu, akhirnya dapat juga tawaran yang betul-betul meletakkan bakat saya mendahului segala-galanya.

Iklan

“Rasa terharu dan dalam masa sama teruja untuk kembali beraksi kerana memang dah lama tidak berlakon filem sampai lupa bila filem terakhir lakonan saya,” luahnya.

Keterujaan berganda buat Syanie apabila filem arahan Mawi itu sekali lagi bakal menyaksikan gandingan bersama Saiful Apek yang sebelum ini pernah beberapa kali bakerjasama dalam filem.

“Bila dengar nama Apek, saya memang terus tak fikir panjang dan anggap ini masa terbaik untuk kami kembali bersama dalam satu frame.

Iklan

“Sejak dari dulu, Apek memang memang merupakan gandingan serasi saya di filem. Malah hampir separuh daripada filem lakonan saya adalah bersama dia seperti Laila Isabella, Cinta Luar Biasa dan lain-lain.

“Saya harap penampilan terbaharu kami ini dapat mengimbau semula keserasian kami sebelum ini, sekali gus mengubat rindu peminat,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Syanie)