KETIKA dunia berdepan krisis Covid-19, pengkarya dari Malaysia dan Indonesia tampil bekerjasama menerusi sebuah projek single berkonsepkan pop kemanusiaan, Tak Ada Yang Tak Bisa.

Lagu ciptaan Faizal Lubis yang juga merupakan pemain keybod undangan untuk kumpulan Noah dan Radja dari Indonesia itu mengisahkan tentang semangat kemanusiaan dalam menghadapi bencana.

Tak Ada Yang Tak Bisa menyaksikan kolaboratif artis naungan syarikat rakaman Life Records Malaysia yang terdiri daripada Aweera Pelita Lusoh dan Azlan Typewriter bersama artis-artis dari Fabis Studio Indonesia  iaitu Aletta Stars, Rafli Kande dan Edo Kondologit.

Menariknya, sebahagian daripada hasil jualan digital single itu akan disumbangkan kepada tabung Covid-19 untuk dana pembelian Alat Pelindung Diri (PPE) yang akan diberikan kepada kakitangan perubatan dan mereka yang terlibat.

Wakil Life Records, Osman Ariffin, berkata, projek pop kemanusiaan melalui single Tak Ada Yang Tak Bisa itu merupakan satu kolaboratif penghormatan antara dua negara.

“Ia bukan hanya di antara pemuzik dan industri muzik, malahan merupakan kerjasama  antara negara dalam memperlihatkan keprihatinan tentang pandemik yang sedang melanda dunia,” katanya.

Iklan

Tak Ada Yang Tak Bisa bakal dirilis di Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun.

Barisan artis yang terlibat dalam penghasilan lagu itu mengharapkan projek pop kemanusiaan tersebut akan dihargai oleh semua pihak.

Iklan

 

(FOTO: Life Records)