PENYANYI Aishah mengakui menyekat akaun Instagram (IG) Datuk Seri Siti Nurhaliza tanpa disedarinya.

Menurut Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin, 56, insiden tersebut berlaku tanpa sengaja kerana kekeliruannya terhadap beberapa akaun palsu yang menggunakan nama Siti Nurhaliza.

Tindakan itu berpunca apabila dirinya dihujani pelbagai kecaman daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan persembahannya membawakan lagu Aku Bidadari Syurgamu, nyanyian asal Siti Nurhaliza di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35, tahun lalu.

“Hari ini saya dihubungi seorang wartawan bertanyakan tentang gosip yang mengatakan saya dan Siti tak bertegur. Tergamam sekejap saya dibuatnya. Biar betul ni cerita apa pulak ni?

“Rupa-rupanya ia berpunca daripada tindakan saya ‘terblock’ Instagram adik tersayang saya ni,” ujarnya.

Tambah Aishah, tindakan itu tidak disedarinya kerana ketika itu dia menyangkakan akaun yang disekat itu milik netizen yang mengecamnya.

“Semasa separuh akhir sebelum ini, ada orang yang tag saya ke IG Siti dan saya terbaca kecaman dalam akaun itu.

“Jadi untuk meredakan hati yang sedih dikecam, dicemuh dan macam-macam lagi, saya ‘block’ akaun itu. Saya tak perasan pun itu IG utama Siti.

“Kerana adindaku ini superstar, saya jadi keliru kerana banyak betul IG yang ada nama Siti,” jelasnya.

Juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu juga menegaskan hubungannya dengan Siti sangat baik dan tidak pernah ada masalah.

“Kelakar kehidupan sekarang, kalau tak boleh tag IG seseorang, terus orang fikir benda bukan-bukan.

Iklan

“Come on, there is life beyond social media. Elok saja Rozisangdewi hubungi saya dengan ucapan Datuk Siti.

“Anda semua kena tahu, saya ni ‘old school’ dan direct communication itu lebih penting daripada akaun-akaun sosial media ini.

“Gambar ni hadiah fruit basket daripada adindaku semasa AJL yang lalu. Baru hari ini dapat ucap terima kasih. Enjin vintage perlu masa rehat,” ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, penyanyi Janji Manismu itu turut menasihati orang ramai agar tidak mudah membuat andaian tanpa mengetahui kebenaran sesuatu perkara.

“Tak payah nak spekulasi benda bukan-bukan dan nak mulakan kecaman pulak. Tabayyun sebelum jump to conclusion. Lepas itu sampaikan di sosial media andaian anda semua.

“Tengok-tengok tak betul, terus jatuh hukum fitnah. Selagi ada dalam akaun anda semua, selagi itulah dosa mengalir. So chill ok…lets move on,” kata Aishah.