BIARPUN tuduhan memakai susuk untuk kelihatan cantik merupakan satu fitnah buat dirinya, penyanyi Ayu Damit, tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

Malah Ayu, 32, yang juga merupakan pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim ketujuh itu, tidak melihat ia sebagai suatu yang harus diberikan perhatian serius.

“Banyak lagi benda yang saya nak fikir dan berikan perhatian berbanding nak memperbesarkan hal yang saya sendiri tahu tidak benar.

“Tuduhan yang mengatakan saya pakai susuk penyeri wajah agak kelakar bagi saya kerana kalau dia tahu orang yang pakai susuk tak boleh makan sate, sedangkan saya merupakan peniaga sate sejak bertahun lalu.

“Ada pihak termasuk peminat yang minta saya saman saja individu berkenaan sebagai pengajaran, tapi bagi saya, tak perlulah nak mengambil serius hal seperti ini.

“Takkan semua benda pun nak saman. Saya tak kisah apa yang mereka nak cakap asalkan ia tidak melampaui batas dan menjejaskan kehidupan saya,” ujar Ayu yang juga pemilik Restoran Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa.

Dalam pada itu, Ayu yang ditemui pada sidang media pelancaran koleksi 9 Generasi, rekaan pereka fesyen Azirun Ramly berkata, selain kembali aktif dalam bidang seni, dia masih giat mengusahakan aktiviti pertanian yang diusahakan beberapa tahun lalu.

Iklan

“Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, memang tiada aktiviti seni yang berlangsung, termasuk tawaran menjayakan persembahan seperti kebiasaannya.

“Bagaimanapun saya beryukur kerana mempunyai pendapatan menerusi perniagaan hasil pertanian yang diusahakan bersama suami, selain restoran yang masih beroperasi.

Iklan

“Alhamdulillah semuanya masih dalam kawalan dan setakat ini saya tidak perlu mengeluarkan wang simpanan walaupun ada ketika turut berdepan dengan keperitan untuk belanja pengurusan terutamanya membawa sewa, gaji pekerja dan sebagainya,” katanya yang kini tampil dengan single baharu berjudul Permata.