Tampil berhijab, Nad Zainal curi perhatian ramai
PELAKON pelakon Nad Zainal mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan penampilan berhijab pada majlis sidang media drama terbaharu lakonannya, Cina Buta baru-baru ini.
Bagaimanapun Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal, enggan mengulas lanjut tentang penampilan tersebut, sebaliknya memohon orang ramai agar mendoakan yang terbaik buatnya.
“Saya tidak mahu bercakap banyak atau bercerita fasal penampilan baharu ini (berhijab). Cuma doakan yang terbaik saja buat saya kerana saya masih belajar.
“Saya juga masih ada dua lagi kerja iaitu sebuah filem dan drama episod panjang yang sudah dipersetujui lebih awal yang mana projek berkenaan memerlukan saya tidak berhijab.
“Jadi saya tidak dapat komen panjang tentang penampilan baharu saya ini. Apa yang pasti saya gembira dengan apa yang saya pakai hari ini dan berharap dapat teruskan pada masa akan datang,” ujarnya kepada SinarPlus.
Dalam pada itu, Nad yang membawa watak sebagai Mia Sara dalam naskhah arahan Shahrulezad yang bakal menemui penonton mulai 9 November, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria, mengakui sudah lama menyimpan hasrat berhijab.
“Sebenarnya sejak dua tahun lepas lagi saya sudah menyimpan hasrat untuk berhijab. Namun ketika itu saya perlukan masa kerana terikat dengan kerja-kerja yang perlu saya habiskan tanpa imej berhijab,” katanya.
Mengulas tentang pemilihan watak dan tawaran lakonan selepas tampil dengan imej berhijab, selebriti berusia 32 tahun itu percaya ia kepada rezeki.
“Mungkin ada sesetengah pihak merasakan sukar untuk beri watak apabila seseorang pelakon sudah berhijab, namun bagi saya sendiri ia tidak jadi masalah.
“Lihat sahaja Noorkhiriah yang masih lagi boleh bawa watak antagonis dengan baik dalam drama Nur sebelum ini. Watak itu berjaya walaupun dengan penampilannya yang bertudung.
“Saya masih lagi baru belajar. Saya bukanlah tiba-tiba tak boleh itu dan ini, tetapi semuanya akan dilakukan secara perlahan-lahan. Saya pun tidak mahu susahkan pihak produksi. Kita boleh sama-sama berbincang,” akhirinya.
(FOTO: AZRUL RAFIE - ASTRO)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang