'Dia tetap ayah Humaira & Umar'- Shuhada Shukri didik anak hormat Hafidz Roshdi, kongsi pengalaman sambut Ramadan di Melbourne
DI bumi asing, saat angin sejuk Melbourne menyapa wajah dan waktu siang terasa lebih panjang, seorang ibu memilih untuk terus berdiri teguh demi dua permata hatinya.
Ramadan kali ini bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi menjadi ruang memahat semula kekuatan diri dan membina memori baharu yang lebih bermakna.
Biarpun melalui fasa getir apabila ikatan pernikahan terlerai, Shuhada tidak pernah mengajar anak-anaknya untuk menyimpan dendam.
Baginya, hubungan seorang anak dengan bapa tetap perlu dihormati.
“Walau apa pun yang berlaku, dia tetap abah kepada Humairah dan Umar," ujar Shuhada Shukri yang merupakan bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi.
Menerusi temu bual bersama Melodi TV3 baru-baru ini, Shuhada berkongsi rasa syukur kerana dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri di luar negara buat tahun kedua berturut-turut.
Walaupun berjauhan dari tanah air, suasana sederhana di perantauan tetap diraikan dengan penuh kesyukuran.
Dedahnya, cabaran utama berpuasa di Australia adalah tempoh siangnya yang lebih panjang. Namun, dia melihat pengalaman itu sebagai proses mendidik anak-anak tentang erti sabar dan disiplin.

“Anak-anak seronok. Walaupun masih kecil, saya latih mereka berpuasa.
"Kita raikan kemampuan mereka, tak paksa. Yang penting mereka faham makna Ramadan," ujarnya lagi.
Dalam nada lembut, anak jati Perlis itu turut berkongsi kegembiraan apabila anak sulungnya, Humairah, menerima anugerah pelajar terbaik di sekolah.
Bagi seorang ibu yang membesarkan anak-anak di negara orang, pencapaian itu terasa cukup besar maknanya. Lebih manis, segala doa yang tidak pernah putus akhirnya dimakbulkan satu persatu.
"Sebenarnya malulah nak cakap sebab macam baru di awal lagi kan, panjang lagi perjalanan. Tapi Alhamdulillah, saya rasa ni satu yang membakar semangat saya dengan anak-anak kat sini. Terus lagi, usaha untuk berjaya.
“Perjalanan dia masih panjang, tapi bila nampak kejayaan depan mata, rasa sebak. Macam ALLAH bayar semula segala penat lelah kami di sini," ungkapnya penuh makna.
Dalam kesibukan menyesuaikan diri di tempat baharu, Shuhada tetap memastikan nilai budaya dan adab Melayu-Islam terus disemai dalam jiwa anak-anak.
“Kita mungkin jauh merantau, tapi adab dan budaya tetap kena semat dalam hati. Itu yang saya selalu ingatkan,"jelas wanita itu lagi yang menyambut bulan mulia itu untuk tahun kedua di bumi Melbourne.
Bagi Shuhada, kehidupan di perantauan bukan sekadar tentang menyambung pengajian, tetapi juga peluang memulakan lembaran baharu.
Pada Julai 2024, dia mengambil keputusan berhijrah ke Melbourne bersama Humairah, 9, dan Umar, 6, demi melanjutkan pengajian di sebuah universiti di sana.
Keputusan itu hadir selepas melalui episod perit melibatkan perbicaraan kes tuntutan hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Selepas proses yang panjang, Shuhada akhirnya diberikan hak penjagaan penuh (hadanah) terhadap dua anaknya.
Bagaimanapun, isu tersebut turut mendapat perhatian apabila Hafidz dilaporkan menyuarakan kerinduan kerana sudah lama tidak bertemu anak-anak.
Membina kehidupan
Bagi Shuhada, masa lalu tidak lagi mahu dikenang secara terperinci. Fokusnya kini hanya satu, membina kehidupan yang lebih stabil dan bahagia untuk Humairah dan Umar.
“Saya tak mahu ingat apa yang pernah berlaku. Saya cuma nak cipta memori baharu dengan anak-anak dan beri tumpuan sepenuhnya kepada mereka," ujarnya.

Imbas kembali, Shuhada dan Hafidz pernah mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 sebelum berpisah pada 24 Februari 2023 selepas tujuh tahun bersama.
Kini, masing-masing membawa haluan sendiri. Hafidz telah mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Athira Yuhada pada Disember 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Namun bagi Shuhada, kisah silam tidak lagi mendefinisikan dirinya. Dia memilih untuk bangkit sebagai wanita yang lebih matang dan berdikari.
Dalam setiap langkahnya di kota Melbourne, terselit harapan besar agar anak-anak membesar dalam suasana penuh kasih sayang dan kestabilan emosi.
Ramadan di perantauan mengajarnya erti sabar yang lebih dalam. Aidilfitri pula diraikan sederhana, tetapi sarat dengan makna.
Tiada lagi hiruk-pikuk kontroversi, yang ada hanyalah doa seorang ibu agar anak-anak terus melakar kejayaan.
Di bumi asing itu, Shuhada membuktikan bahawa kekuatan seorang wanita bukan diukur pada apa yang telah hilang, tetapi pada keberanian untuk membina semula kehidupan, dengan iman, sabar dan kasih sayang sebagai asas utama.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
