MASIH ingatkah pada Fadh Majid? Pemuda yang merupakan peserta underdog di Big Stage musim ketiga, namun mencuri perhatian ramai dengan kreativiti persembahan serta tona suara maskulin yang sudah semakin pupus dalam kalangan penyanyi lelaki.

Pada Jumaat lalu, Fadh Majid melancarkan single keduanya, Tak Mungkin Mendua yang menyusul sesudah setahun single pertamanya, Bukan Takdirku dilancarkan.

Vokal lunaknya berpadu dalam melodi kemas, dikomposisikan oleh komposer terkenal, Faizal Maas (Ajai) dan diperindahkan lagi dengan sentuhan puitis Fedtri Yahya selaku penulis lirik.

Dilahirkan dengan nama Muhammad Fadhlullah  Abdul Majid, anak jati kelahiran Melaka itu berkata, Tak Mungkin Mendua adalah sebuah karya yang menceritakan tentang kesetiaan seorang lelaki terhadap pasangannya yang lebih tahu menghargai dirinya jika dibandingkan cinta pertama beliau.

Iklan

“Percintaan seumpama ini cukup sinonim dan seringkali terjadi dalam dunia nyata. Meskipun ia sebuah kisah klise, namun mesej positif terus diterapkan dimana pentingnya kesetiaan dan menghargai insan yang bersama kita tatkala susah atau senang,” kata pemuda berusia 28 tahun itu.

Iklan

Tak Mungkin Mendua kini boleh didengari di semua platform penstriman dan boleh dimuat turun menerusi Apple Muzik serta dijadikan nada dering di semua Telco. Lirik Video boleh ditonton menerusi saluran YouTube Todak Muzik.