SELEPAS lebih 18 tahun mengatur langkah dalam bidang seni, penyanyi Misha Omar buat pertama kalinya memberanikan diri untuk berkongsi bakatnya dalam penciptaan lagu.

Menjadikan karya tersebut sebagai buah tangan istimewa buat para peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya dari awal bergelar anak seni sehinggalah ke hari ini, Misha atau nama sebenarnya Samihah @Aisah Omar, 38, mengharapkan agar single ciptaannya itu dapat diterima ramai.

Single berjudul Tanpa Rela itu merupakan karya ciptaan Misha dan Lee Sze Wan, manakala liriknya pula hasil cetusan bersama Misha, Slen dan Zul.

“Selepas 18 tahun dalam industri muzik, saya terfikir mengapa tidak saya memulakan satu langkah ke hadapan dengan menghasilkan melodi.

“Biarpun proses penghasilan Tanpa Rela menuntut perjalanan yang panjang, saya bertuah kerana niat itu dipermudahkan apabila dipertemukan dengan pengarah muzik, Lee Sze Wan ketika menjayakan Konsert Soul Sisters di Istana Budaya, April tahun lalu.

“Dari situ, kami mula rapat hingga tercetus idea untuk menjalin kerjasama dalam penghasilan single terbaharu ini.

“Saya bersyukur kerana Sze Wan banyak memberikan tunjuk ajar, malah sentiasa sabar melayani kerenah saya yang masih hijau dari sudut komposisi lagu,” katanya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kelantan itu mengakui kejayaan single terdahulu, Sampai Bila turut mendorongnya untuk meletakkan standard lebih tinggi dalam penghasilan single tersebut.

Mahu memberikan yang terbaik, namun berbeza dalam lagu tersebut, Misha yang menjalani proses rakaman pada pertengahan Julai lalu itu mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal intensif bersama pensyarah vokal berkaliber, Datuk Syafinaz Selamat.

Tanpa Rela tidak hanya menjadi lagu pertama yang saya hasilkan, tetapi kali pertama juga saya dapat bekerjasama dengan Syafinaz di studio rakaman sebagai penasihat dan pengarah vokal.

“Sebelum ini, saya hanya melangkah ke studio rakaman untuk memasukkan vokal apabila semua proses awal sudah selesai, tetapi untuk Tanpa Rela, saya terbabit dari awal.

Iklan

“Bermula dengan mencari idea untuk menghasilkan melodi, seterusnya berbincang dengan Sze Wan dari segi susunan muzik, saya juga terbabit dalam penulisan lirik.

“Apabila semua proses awal selesai, saya mendapatkan khidmat Syafinaz untuk membantu dari sudut penghayatan dan penyampaian lagu di mana kami banyak berbincang bagi menceritakan emosi yang diluahkan menerusi setiap bait lirik,” katanya.

Bagaimanapun, Misha yang pernah dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-33, mengakui teruja menantikan detik pelancarannya single terbaharunya itu pada pertengahan bulan depan.

Iklan

Tanpa Rela memberikan makna yang begitu besar dalam kerjaya nyanyian saya. Prosesnya tidak mudah kerana semua pihak yang terbabit, terutama Sze Wan dan Syafinaz begitu teliti.

“Mereka mementingkan kesempurnaan dari semua sudut dan sebagai penyanyi, kepercayaan besar mereka membuatkan saya berasa dihargai serta disayangi.

“Saya berharap Tanpa Rela akan menjadi penyambung legasi Misha Omar dalam perjalanan menuju dua dekad sebagai insan seni,” akhirinya.