BAGI meraikan persahabatan yang terjalin, Shuib Sepahtu dan Mark Adam sepakat merakamkan lagu yang dihasilkan bersama lebih dua tahun lalu.

Lagu berjudul Teh Terakhirku itu turut menyaksikan kolaboratif mereka berdua bersama penyanyi baharu yang sedang meningkat naik, Zynakal.

Menurut Shuib, ilham menghasilkan lagu tersebut hadir ketika dia dan Mark Adam sedang menikmati teh tarik ketika berada di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah.

Beberapa peristiwa yang berlaku ketika berada di sana akhirnya mencetuskan idea kepada mereka berdua untuk menghasilkan sebuah karya khusus mengingati kenangan tersebut.

Bagaimanapun, disebabkan masing-masing sibuk dengan pelbagai aktiviti sekembalinya daripada umrah, membuatkan lagu ini terperam hampir dua tahun.

Ditambah dengan kekangan untuk mencari penyanyi rap yang sesuai untuk lagu tersebut membuatkan ia tertangguh sehinggalah mereka akhirnya memilih Zynakal.

“Zynakal seorang yang berbakat besar dan sudah ada idea sendiri untuk hasilkan lirik.

“Memang Tuhan mempermudahkan segala urusan kami untuk segera mengeluarkan lagu ini sempena Aidiladha tahun ini,” ujar Mark.

Iklan

Menariknya, Teh Terakhirku bukan sahaja menggunakan metafora rukun umrah sebagai lirik, tetapi juga menyelitkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Teh Terakhirku kini boleh distrim di semua platform digital dan lirik video pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music mulai 28 Julai lalu.

Iklan

 

(FOTO: Indigital Music)