TELEFILEM komedi Astro Ceria SMK: Raya Dekat Jauh berjaya mengungguli gelaran Best Quarantine-Themed Drama/Feature/Programme di Anugerah ContentAsia, mengalahkan pesaingnya dari Taiwan, Unlocked.

Anugerah ini merupakan satu-satunya kemenangan bagi negara Malaysia.

SMK: Raya Dekat Jauh merupakan telefilem dari siri komedi Astro Ceria, SMK (dilancarkan pada tahun 2019) yang memfokuskan kepada gelagat melucukan sekumpulan remaja menghadapi pelbagai situasi di sekolah mereka.

SMK menampilkan bakat-bakat muda tanah air termasuklah Wafiy A’an, Fikry Kiki, Rykarl Iskandar, Mia Sara Nasuha, Erissa Puteri, Kashika Selvam, Arena Wan, Idan Aedan, dan Aniq Iffat.

SMK: Raya Dekat Jauh adalah telefilem pertama di Malaysia yang dirakamkan dari jarak jauh dalam tempoh 6 hari keseluruhannya.

Kesemua barisan pelakon, yang berusia antara 12 hingga 20 tahun, merakam sendiri semua adegan mereka dengan menggunakan telefon bimbit dibimbing pengarah, Shamyl Othman, melalui panggilan secara maya.

Barisan pelakon cilik itu sekali gus memainkan peranan produksi sebagai sinematografer, pencahayaan, audio, tatarias, dan solekan, dengan bantuan dari ahli keluarga mereka di rumah.

Iklan

SMK: Raya Dekat Jauh boleh distrim melalui aplikasi Astro GO, manakala musim kedua SMK akan bermula pada 7 Oktober 2020, jam 9 malam di Astro Ceria HD (611) dan Ceria (631).

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai SMK, layari laman sesawang rasminya di astroceria.com.my/smk/ dan ikuti halaman Instagram rasminya di instagram.com/smk.kita.

Iklan

ContentAsia Awards merupakan upacara pengiktirafan bagi kandungan terbaik di seluruh Asia, termasuklah Malaysia, Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan, Indonesia, India dan banyak lagi.

Majlis anugerah ini telah pun disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi ContentAsia pada 28 Ogos lalu.