MESKI memulakan kerjaya seni dalam bidang nyanyian, tuah ternyata menyebelahi Wafariena dalam lakonan apabila namanya mula dikenali ramai menerusi drama 7 Hari Mencintaiku 2.

Ternyata watak Nurul Ain yang digalas dalam drama tersebut berjaya memberikan impak besar, sekali gus memberi ruang baharu buatnya meniti populariti.

Menurut pemilik nama lengkap Wafariena Roslan, 25, dia sendiri tidak menyangka mendapat perhatian sebegitu kerana masih baharu dalam bidang lakonan.

“Saya bermula dalam bidang nyanyian dan sebelum ini berusaha keras mencari peluang untuk mengetengahkan bakat dalam bidang itu.

“Tidak sangka pula apabila muncul dalam drama ini, orang mula nampak dan menerima saya.

“Saya percaya perhatian itu kerana watak Nurul Ain dan tempias populariti drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang berjaya menambat hati penonton,” ujarnya yang pertama kali berlakon drama.

Dalam pada itu, anak kelahiran Pulau Pinang itu turut mengakui menerima banyak kecaman daripada netizen yang terkesan dengan lakonannya dalam drama tersebut sehingga terbawa-bawa dalam dunia nyata.

“Sepanjang drama tersebut disiarkan saya menerima pelbagai kecaman daripada netizen sehingga dihujani dengan pelbagai mesej langsung di Instagram.

“Tidak hanya itu, pengurus saya juga menerima nasib sama dan dijadikan tempat meluahkan kebencian mereka, selain diganggu menerusi mesej dan panggilan telefon tanpa mengira waktu.

“Saya tidak ambil hati pun dengan kecaman tersebut kerana faham mereka hanya terbawa-bawa dengan watak dalam drama itu.

“Cuma ada masa rasa terkilan bila ada yang melampaui batas sehingga mencetuskan rasa kurang selesa pada saya dan keluarga,” akuinya.

Tetap fokus nyanyian

Tidak mahu menoleh ke belakang, Wafariena mahu terus menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin untuk mengembangkan bakatnya selepas ini.

“Alhamdulillah semenjak bakat saya dilihat menerusi drama tersebut, saya didatangi ramai peminat baharu yang mahu mengenali dan mengetahui lebih banyak tentang saya.

Iklan

“Tidak kurang juga yang mula mendengar lagu-lagu saya sebelum ini dan turut meminati saya sebagai penyanyi dalam masa sama.

“Perkembangan positif yang saya sendiri tidak jangkakan berharap sokongan tersebut akan berterusan untuk saya sama ada sebagai pelakon mahupun penyanyi,” katanya.

Mula dikenali menerusi lagu Carilah aku, Wafariena juga berkebolehan menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Thai, Tagalog dan lain-lain.

“Walaupun orang lebih nampak bakat saya dalam lakonan, saya tetap akan teruskan bidang nyanyian seperti biasa kerana ia merupakan minat saya sejak dulu.

Iklan

“Syarikat rakaman saya, Map Music juga kini sedang menyusun perancangan untuk menghasilkan single terbaharu tidak lama lagi.

“Cuma mungkin disebabkan pandemik Covid-19 belum lagi reda, banyak perancangan yang terpaksa ditangguhkan dahulu,” katanya.

 

(FOTO: Instagram Wafariena)