PENYANYI Jaclyn Victor menepati ramalan ramai apabila muncul sebagai juara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada konsert malam kemuncak yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Mengisi tema Kemanisan Di Akhir Garisan, Jaclyn atau Jac tampil dengan persembahan memukau menerusi medley lagu It’s All Coming Back, nyanyian asal Celine Dion dan This Is Me (Keal Settle) untuk segmen solo, manakala rap battle bersama VE menerusi lagu The Real Slim Shady (Eminem) serta Sang Saka Biru (Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Alyph).

Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan penyanyi yang popular dengan lagu Gemilang itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM100,000, pakej percutian ke Paris beserta trofi.

“Syukur atas kemenangan ini. Terima kasih kepada semua yang banyak menyokong saya sepanjang GV9 ini berlangsung.

“Pertandingan ini memang hebat dan banyak saya pelajari di sini,” ujar Jac sebaik diumumkan sebagai juara.

Sementara itu, Bob Yusof mencipta kejutan apabila bergelar naib juara dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 beserta trofi, manakala tempat ketiga menjadi milik Shila Amzah dengan hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 beserta trofi.

Sementara itu Tomok, VE dan Hairul Nizam pula masing-masing berpuas hati di tempat keempat, kelima dan keenam dengan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Kesemua peserta yang bertanding di pentas akhir GV8 diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap, manakala Edry Abd Halim sebagai juri jemputan.

Selain enam finalis tersebut, peserta lain yang turut beraksi dalam GV9 ialah Dina Nadzir, Fuad Rahman, Asheed Def Gab C, Tom, Pat Candy, Haida Hasnan dan kumpulan Roy Kapilla.

Iklan

Pentas akhir turut dimeriahkan dengan persembahan Ramlah Ram dan Amelina.

GV9 yang dihoskan pasangan pengacara serasi, Nabil Ahmad dan Elly Mazlein itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) setiap Ahad, jam 9 malam bermula 12 September lalu.

Iklan

Kedudukan dan markah penuh finalis GV9

1. Jaclyn Victor – 85.86 %
2. Bob Yusof – 76.28%
3. Shila Amzah – 76.02
4. Tomok – 75.83%
5. VE 72.39%
6. Hazrul Nizam – 69.75%

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)