FESYEN penyanyi Sissy Imann ketika acara kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-33 (ABP33) semalam menjadi bahan kritikan warganet apabila penampilannya dikatakan kurang menyerlah dan bersesuaian untuk acara berprestij itu.

Bapa Sissy, Mohammad Kamil Moustaff, meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan warganet dan tampil berkongsi tentang kisah di sebalik persiapan Sissy sebelum tampil dengan persalinan terbabit.

Menurut Mohammad Kamil, dia sudah melakukan yang terbaik untuk memastikan anak perempuannya itu tampil terbaik pada acara terbabit.

“Biarlah orang kutuk pun, saya akur dan sedar diri yang saya ini bukan siapa-siapa. Saya seorang bapa yang hanya melakukan tanggungjawab supaya anak meraih kejayaan.

“Tiada hamba Allah yang nak sponsor, benar-benar approach pun. Baik busana, mahupun kelengkapan dirinya untuk berada di pentas kecil mahupun di tempat gah. Saya pula bukan jenis yang meminta-minta,” jelasnya.

Tambahnya, segala persiapan dilakukan sendiri olehnya demi memastikan Sissy tampil sempurna untuk acara itu.

“Dari awal, saya sendirilah yang bersengkang mata untuk jahitkan batu perhiasan di baju. Entah berap ribu kali jari ini tertusuk jarum. Mata ini bukanlah terang sangat pun.

“Melecur juga kena gam panas merekakan subangnya, dandankan rambut, sarungkan baju dan betulkan segalanya.

“Terbakar dan melecur tangan dek terkena panas curler dan iron bila mendandan rambutnya. Saya ini bukanlah profesional yang tahu segalanya, tapi saya tetap melakukannya demi anak sehabis baik mungkin.

“Setiap kali dia beraksi, saya akan sentiasa mahu berada sama untuk memastikan dia sentiasa kelihatan bagus di mata saya. Sekurang-kurangnya dia berada dalam keadaan sopan dan tertib sehinggakan kadang-kadang saya lupa diri bertongkat ke sana ke mari,” luahnya.

Iklan

Dalam pada itu, Mohammad Kamil yang sentiasa menemani Sissy itu juga menyatakan perasaan bangganya apabila anaknya itu sentiasa menunjukkan penghargaan ke atas setiap apa yang dilakukan.

“Saya bangga dengan anak saya yang seorang ni. Setiap kali selesai, dia akan sentiasa tanya keadaan saya sama ada OK atau tidak.

“Itu sudah puas bagi saya apabila dia menunjukkan aprisiasinya. Saya bentuk dia sampai kehari ini. Sedikit demi sikit sampailah dia jadi siapa diri dia hari ini. Orang boleh mengecam, tapi jerih perih saya, hanya Allah saja yang tahu.

Iklan

“Jutaan terima kasih saya nak ucapkan pada penyokong tegar anak saya ini. Teruslah menyokong tanpa berbelah bagi. Terima kasih juga pada yang menghentam, menghina dan mencerca kerana kekalkan kami untuk sentiasa merendah diri dan menyedarkan kami untuk sentiasa berdiri dibumi nyata,” katanya.

 

(SUMBER & FOTO: Instagram Mohammad Kamil)