SETELAH menerima kunci unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) September lalu, 25 artis terpilih sudah mula mendiami kediaman masing-masing.

Antara penggiat seni yang menerima surat tawaran itu adalah Ayati Tasrip, Alina Hassan, Noralbaniah, Delimawati Ismail, Wan Nor Azlin Wan Mohd Hussin, Badrul Muhayat, Zaleha Sidek dan Mahmud Ali Basha.

Justeru pada 15 Disember lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Lokman Hakim Pfordten; Pengurus Besar Yayasan Felda, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Banuri Aris; Pengarah Urusan dan Inovasi Al Aqsa Carpets Sdn Bhd, Dazrin Datuk Kamarudin melakukan sesi penyerahan sumbangan barangan rumah di PPR, Lembah Subang 2.

Pada majlis itu, turut hadir adalah penyanyi, Ayati Tasrip, 60; bekas juara Sinaran Pasport Kegemilangan 1996, Alina Hassan, 53; dan pelakon Noralbaniah, 51.

Dari kiri : Alina, Ayati dan Noralbaniah.

Mereka menerima barang keperluan seperti peti sejuk, mesin basuh, almari, katil, televisyen (TV) dan sebagainya.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Alina berkata, dia berasa sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh Finas, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi menterinya, Zuraida Kamaruddin.

“Saya tahu walau nak ucap terima kasih saja tak cukup tetapi sangat sangat berterima kasih kepada Finas, Seniman, YB Zuraida dan semua NGO yang banyak membantu.

“Rasa seperti mimpi apabila dapat rumah yang lengkap dengan barangan keperluan,” ujarnya kepada Finas sebelum ini.

Alina menerusi temu bual bersama Sinarplus sebelum ini memberitahu, dia tidak sabar untuk membawa anak keduanya, Mohd Alif yang menghidap autisme untuk tinggal bersama.

Iklan

“Bekas suami juga setuju saya akan menjaga anak selepas ini dan dia juga banyak membantu saya selama ini,” katanya.

Alina melahirkan rasa syukur di atas pelbagai sumbangan barangan rumah yang diterima daripada Finas dan NGO.

Alina memiliki empat cahaya mata, namun anak pertamanya meninggal dunia. Anak kedua, Muhammad Alif, 20, menghidap autisme, anak ketiga, Muhammad Amin, 18, meneruskan pengajian di Matrikulasi Gambang, Pahang. Manakala anak bongsu, Muhammad Azam, 15, menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Terengganu.

Pada awal September lalu, 25 penggiat seni menerima surat tawaran menyewa unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin yang diusahakan FINAS serta KPKT.

Iklan

Seramai 19 penerima ditawarkan kediaman di PPR Sri Aman Kuala Lumpur dengan baki enam penerima lagi ditempatkan di PPR Lembah Subang 2.

Kediaman berkeluasan 650 kaki persegi itu memiliki tiga bilik dan dua bilik air. Ia turut dilengkapi kemudahan asas seperti katil, sofa, dapur gas, meja makan dan almari tajaan beberapa badan korporat.

Sumber : Finas dan Berita Harian