TIDAK mahu membiarkan diri terus menjadi mangsa fitnah dan dianiayai untuk sesuatu yang tidak dilakukannya, pelakon Janna Nick bertegas mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang memulakan provokasi menerusi sebuah video yang mengaitkan dirinya baru-baru ini.

Menerusi sidang media khas yang diadakan secara virtual pada Khamis, Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 26, tampil membuat penjelasan berhubung tindakan tersebut.

“Pihak saya telahpun mengambil tindakan undang-undang terhadap individu  yang memulakan provokasi dan memulakan fitnah  terhadap saya.

“Saya terpaksa mengambil serius kerana video tersebut ditularkan semula selepas tiga  tahun dan ia melibatkan isu tentang kematian seseorang.

“Saya tidak akan sama sekali mempermainkan isu kematian. Tidak mungkin datang daripada mulut saya sendiri.

“Saya dituduh tidak menghormati kematian orang bukan Islam dan dituduh tidak sensitif  dengan kematian orang lain. Itu bukanlah diri saya,” jelasnya.

Dalam perjelasan sama, Janna berkata, ketika menyah-aktifkan sementara akaun Instagramnya beberapa hari lalu, dia dituduh mengeluarkan kenyataan terhadap seseorang yang menegurnya berkaitan isu itu .

“Saya nak jelaskan tentang satu kenyataan yang tular kononnya ‘Janna ada membalas komen seorang ustaz yang menegur Janna untuk tidak mempersenda orang yang telah meninggal dunia’.

“Di sini dia tulis, kononnya saya membalas komen itu dengan ayat, ‘ustaz peminat K-Pop eh, jangan taksub sangat.

“Saya rasa benda ini terlalu memfitnah saya, malah saya rasa dianiayai kerana ayat ini tidak langsung dikeluarkan daripada saya atau dinyatakan dalam akaun media sosial saya. Langung  tidak ada,” tegasnya.

Tambah Janna lagi, disebabkan perkara itu, dia bukan hanya menerima kecaman, tetapi juga ugutan bunuh.

“Saya  menerima banyak kecaman atas ayat tersebut dan menerima beberapa ugutan bunuh.

“Disebabkan itu, pihak saya akan terus mengambil tindakan, termasuk membuat laporan polis,” katanya yang telahpun berbuat demikian beberapa hari lalu.

Iklan

Dalam pada itu, pelakon Marry Me Senorita itu mengakui apa yang berlaku itu telah memberi kesan terhadap kerjaya dan reputasinya.

Janna menerusi peguamnya sepakat untuk mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan kes tersebut di mahkamah untuk membuat tuntutan pampasan ke atas pihak terbabit.

“Isu ini telah memberi kesan terhadap reputasi dan kerjaya saya. Jadi kita mengambil tindakan untuk mengenakan tuntutan pampasan terhadap individu yang memulakan provokasi tersebut sehingga isu ini menjadi amat besar dan tidak dapat dikawal oleh pihak saya.

“Kita akan teruskan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Janna turut membuat permohonan maaf berhubung isu gelaran Lisa Blackpig yang melibatkan salah satu watak dalam telefilem arahan dan terbitannya, Delen yang mencetuskan kemarahan peminat bintang K-Pop berkenaan.

“Untuk isu Lisa Blackpig, saya sebagai pengarah dan penerbit telefilem Delen mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf kepada semua yang terasa hati, terguris  hati akan kapsyen tersebut,” katanya.

Terdahulu Janna menerima kecaman hebat apabila didakwa telah mempersenda  kematian seorang penyanyi K-Pop dalam sebuah video bersama seorang lagi pelakon pada tahun 2018.

Janna yang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka sekali lagi menerima kecaman apabila kata ganti ‘si mati’ yang digunakan untuk merujuk kepada mendiang Kim Jong-hyun menimbulkan kemarahan peminat K-POP.