Teringat cara dapat hidayah, Kilafairy tekad istiqamah
SETIAP orang mempunyai fasa hidup dan ujian yang berbeza. Namun apa yang penting adalah apabila kita berubah ke arah kebaikan.
Begitulah yang dapat disimpulkan dengan penghijrahan pelakon dan penyanyi yang pernah mendapat gelaran Angelina Jolie Malaysia kerana imej seksinya suatu ketika dahulu.
Namun tidak adil rasanya untuk menilai Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, kerana wanita berusia 29 tahun itu kini lebih matang dan sejuk mata memandang.
Memilih untuk tampil bertudung sejak dua tahun lalu, Kilafairy berkata, dia tidak pernah sama sekali memikirkan tawaran kerja akan berkurangan.
Sebaliknya, dia merasakan rezekinya kini semakin mencurah-curah.
“Bila saya buat keputusan untuk bertudung, saya tidak terfikir kalau tawaran kerja saya akan berkurangan.
“Saya bertudung kerana ALLAH. Tetapi bila rezeki saya semakin murah, ia buat saya lebih bersemangat untuk kekal istiqamah. Perbuatan baik, ALLAH akan balas baik,” katanya ketika ditemui pada majlis Ulang Tahun Pertama RR Monoscarves yang berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bersempena meraikan ulang tahun pertama RR Mono Scarves, Kilafairy menjadi antara tujuh selebriti dilantik menjadi inspirasi bagi koleksi tudung ini.
Selain Kilafairy, antara lain adalah Ziana zain, Izara Aishah, Aina Abdul, Amyra Rosli, Hawa Rizwana dan suri hati Rizman, Nurida Suraya.
Dalam pada itu, tambah Kilafairy, sebagai manusia biasa, dia juga tidak terlepas berdepan dengan ujian, berlawan dengan iman.
“Saya pun manusia biasa, berlawan dengan iman, ada masa turun dan naik. Sebab itu malas nak cerita lebih-lebih takut nanti tiba-tiba terhenti.
“Cuma saya boleh cakap saya dah buat sehabis baik. Saya rasa, cara saya mendapat hidayah itu membuatkan saya takut untuk membuka tudung,” katanya yang memilih untuk enggan bersentuhan dengan pelakon lelaki dalam drama.
Janji
Sementara itu, menyentuh soal perancangannya untuk menamatkan zaman bujang, Kilafairy selesa memilih untuk tidak berkongsi kisah peribadinya.
“Saya tak mahu bercerita mengenai kehidupan peribadi saya. Kalau ada yang mendakwa mengenai saya akan berkahwin dalam masa terdekat ini, kita aminkan sahaja.
“Andai kata saya akan berkahwin nanti, saya akan kongsikan dengan peminat dan juga rakan media.
“Cuma buat masa ini, saya tidak mahu cerita peribadi melebihi kisah kerjaya saya. Kalau boleh biarlah orang tahu mengenai kerja sahaja.
“Bila tiba masanya, saya akan berkongsi juga. Itu janji saya,” ujarnya menutup perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang