PEMAIN gitar profesional, Wan Radzie atau Eddy Wan Othman  30, meninggal dunia di kediamannya, di Gombak, tengah malam tadi dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Turut terkorban dalam insiden tersebut ialah kakaknya, Wan Zunira, 32, sementara anak saudaranya yang berusia tiga tahun, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang.

Berita duka tersebut dikongsikan abang Allahyarham iaitu Wan Razmie Wan Othman menerusi laman Facebook miliknya.

“Dukacita dimaklumkan bahawa kedua adinda saya,  Wan Zunira dan Eddy Wan Othman sudah berpindah alam menghadap Ilahi malam tadi.

“Kedua jenazah mereka kini di Forensik Selayang dan anak bongsu kepada adinda saya Allahyarhamah Wan Zunira, kini di ICU selayang kerana terlibat sama,” ujarnya.

Dalam perkongsian sama, Wan Razmie memberitahu kejadian tersebut berlaku ketika Allahyarham Wan Zunira sedang memandikan anak bongsunya. Renjatan elektrik tersebut dipercayai berpunca daripada alat pemanas air elektrik.

“Perginya seorang ibu ketika sedang menyempurnakan tugasan terakhir beliau memandikan anaknya.

“Perginya seorang adik kerana berusaha menyelamatkan kakak dan anak buah yang sedang dalam renjatan elektrik.

Iklan

“Semoga keduamu pergi sebagai syahid dan syuhada. Berehatlah kedua adikku. Tugasan kalian di dunia dah berakhir. Semoga Allah menerima kebaikan kamu berdua,” luahnya.

Difahamkan jenazah kedua-duanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, pada petang ini.

Sepanjang pembabitannya dalam dunai muzik, Eddy yang turut dikenali sebagai Eddy Malmsteen pernah mengiringi persembahan barisan artis popular tanah air seperti Datuk Hattan, Joey BPR dan lain-lain.

Iklan

 

(FOTO: Facebook Eddy Wan Othman)