BAND popular Indonesia D’Masiv buat julung kalinya bakal tampil dengan sebuah persembahan istimewa di Malaysia, sekali gus meraikan meraikan sambutan ulang tahun ke-20 perjuangan legasi muzik mereka.

Konsert D’Masiv 20AD To The World – Live In Kuala Lumpur yang dibawakan khas oleh Neptunes Presents itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.

Teruja menantikan konsert tersebut, D’Masiv yang dianggotai Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan,Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram) menjanjikan yang terbaik buat peminat mereka yang hadir kelak.

Menurut Rian, mereka kini sibuk membuat persiapan untuk menjayakan konsert berkenaan.

“Beberapa bulan lalu, saya sempat menulis ciapan di Twitter dan ramai peminat yang inginkan kami hadir ke Malaysia untuk mengadakan konsert. Jadi, itu membuatkan kami sangat teruja untuk mengadakan persembahan di sini.

“Sebelum ini, kami sudah beberapa kali hadir ke Malaysia, tetapi sekadar mempromosikan album dan sebagainya. Kalau buat persembahan pun, tampil bersama pemuzik lain seperti Nidji dan Geisha.

“Justeru, konsert ulang tahun ke-20 ini akan menjadi taruhan pertama kami di Malaysia. Kami teruja akhirnya dapat bertentang mata dengan peminat yang menyokong D’Masiv selama ini,” katanya menerusi temubual yang diadakan secara virtual baru-baru ini.

Pada konsert berdurasi dua jam itu, D’Masiv bakal menghiburkan peminat dengan lebih 20 buah lagu popular mereka seperti Pergilah Kasih, Cinta Sampai Di Sini, Merindukanmu, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku.

Menariknya lagu-lagu yang ditampilkan dalam konsert bertemakan jelajah dunia itu diberi sentuhan baharu dengan gubahan muzik berbeza mengikut kesesuaian peminat.

“Secara kebetulan, kami mahu mengadakan siri jelajah ke beberapa negara pada tahun ini. Jadi, Malaysia akan menjadi negara pertama, kemudian disusuli Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat.

“Ada beberapa lagu dilakukan susunan muzik semula agar berbeza daripada versi asal. Tetapi, ada juga lagu yang akan dipersembahkan dalam versi asal untuk memenuhi permintaan peminat.

“Kami yakin peminat di Malaysia akan bersama menyanyikannya di pentas Zepp Kuala Lumpur,” katanya.

Peminat generasi baharu

Sepanjang kerjaya mereka, D’Masiv sudah menghasilkan tujuh album iaitu Perubahan pada 2008, Perjalanan (2009), Persiapan (2012), Hidup Lebih Indah (2014), D’Masiv (2016), Love (2019) Time (2022).

D’Masiv bakal menampilkan seleksi lagu-lagu popular mereka pada konsert D’Masiv 20AD To The World – Live In Kuala Lumpur 2 Jun depan.

Walaupun sudah dua dekad berkecimpung dalam industri muzik, D’Masiv bersyukur masih diterima baik oleh peminat pelbagai generasi.

Malah di Indonesia, mereka sering mengadakan persembahan di festival muzik seperti Pentas Seni yang rata-rata penontonnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

“Kami terkejut walaupun usia antara 15 hingga 17 tahun, mereka tahu lagu D’Masiv. Mungkin kerana jalan cerita lagu-lagu kami sudah mula terkesan di hati mereka.

“Atau barangkali ada yang sudah mula sukakan seseorang, mula patah hati dan ada muncul rasa kerinduan kepada seseorang. Jadi, mungkin karya-karya itu terkait dengan kisah mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Rian berkata, D’Masiv menggunakan media sosial untuk berinteraksi dengan peminat. Apatah lagi pada era ini, platform tersebut menjadi perantara terbaik untuk berhubung dengan peminat mereka di serata dunia.

“Sekarang adalah era media sosial, jadi kami juga menggunakan platform ini dengan sebaik mungkin untuk berinteraksi. Mahu atau tidak, kami perlu mengikuti peredaran zaman.

“Ia sedikit sebanyak membantu untuk mendekatkan kami dengan peminat generasi baharu,” katanya.

Mengulas kolaborasi dengan artis Malaysia, D’Masiv sebelum ini pernah menyanyikan lagu Sahabat Selamanya yang juga lagu runut bunyi filem Boboiboy berkata, antara artis tempatan yang disenaraikan ialah Datuk Amy Search, Kugiran Masdo dan Bunkface.

Iklan

“Jika di Indonesia, kumpulan popular sekarang adalah Kugiran Masdo. Memang nama mereka tular sekarang.

“Sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Bunkface ketika menyanyikan lagu runut bunyi filem Boboiboy. Jadi, kalau ada peluang, kami mahu bekerjasama lagi,” akuinya.

Nabila yakin D’Masiv bakal tampilkan persembahan terbaik buat peminat di Malaysia.

Sementara itu, penganjur konsert yang juga aktres terkenal, Nabila Huda berkata, D’Masiv adalah salah satu kumpulan Indonesia diminati sejak dahulu lagi, namun tidak pernah berpeluang menyaksikan konsert mereka di Kuala Lumpur.

Kesempatan bertemu empat mata dengan band tersebut di Jakarta, Indonesia pada awal tahun baru-baru ini mencetuskan idea untuk penganjuran konsert tersebut.

“Saya dan keluarga sempat bercuti ke Jakarta, Indonesia, awal tahun ini. Secara kebetulan, kami kami diundang oleh teman rapat untuk bertemu dengan vokalis D’Masiv, Rian. Namun, tujuan asal pertemuan hanya untuk berkenalan. Tiada perancangan pun melamar D’Masiv untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, pengurus D’Masiv amat teruja dengan penganjuran konsert pertama Senandung Malam membabitkan Payung Teduh X Pusakata dan Efek Rumah Kaca yang dibawakan Neptunes Presents pada November, tahun lalu.

Iklan

“Dari situ, timbul idea sekiranya kami berminat berkolaborasi dengan D’Masiv dalam menganjurkan Senandung Malam Volume 2 di Kuala Lumpur,” katanya teruja.

Aktress yang juga anak kepada rockers legenda, yakin D’Masiv akan muncul dengan sebuah persembahan yang bakal diingati para peminat mereka.

“Ini adalah kemunculan pertama D’Masiv di Kuala Lumpur. Jadi, sudah tentu pilihan lagu daripada album pertama sehingga album terbaharu yang akan disampaikan,” katanya.

Tiket konsert dijual dengan harga antara RM198 hingga RM458 dan pembelian boleh dibuat menerusi laman web, www.startix.live bermula hari ini (Jumaat), jam 11 pagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.